Bakal ‘pasangan hidup’ kena terima BN tanding 21 kerusi

Bakal ‘pasangan hidup’ kena terima BN tanding 21 kerusi

SEBARANG usaha membentuk kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berdepan satu syarat tegas apabila Barisan Nasional (BN) menetapkan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai garis merah yang tidak boleh dikompromi.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, mana-mana parti yang mahu menjadi ‘pasangan hidup politik’ BN perlu terlebih dahulu menerima pendirian berhubung 21 kerusi berkenaan.

Menurutnya, angka itu menjadi asas utama dalam sebarang rundingan kerjasama politik yang bakal berlangsung.

“Kita tidak akan kompromi 21 kerusi, itu kita punya garisan sempadan perbincangan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Bengkel Penjajaran Hala Tuju Kampung Digital Melaka, di Alor Gajah, hari ini.

Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka berkata, parti itu bagaimanapun terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang berminat menjalin kerjasama bagi menghadapi PRN akan datang.

Namun katanya, sebarang bentuk kerjasama perlu berasaskan rasional yang dipersetujui bersama dan bukan dibuat secara sepihak.

Beliau turut menegaskan keputusan muktamad berkaitan kerjasama politik tidak boleh dibuat di peringkat negeri semata-mata, sebaliknya perlu mendapat restu kepimpinan tertinggi UMNO.

“Saya tidak boleh nak menguruskan apa juga keputusan melainkan mendapat blessing daripada pihak Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang akan dibincangkan esok.

“Saya takkan mengadakan mesyuarat MKT di Melaka, tetapi akan buat mesyuarat di WTC,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf terus berahsia mengenai tarikh pembubaran DUN Melaka walaupun mengakui PRN boleh diadakan pada bila-bila masa.

Katanya, DUN Melaka akan terbubar secara automatik pada 30 Disember ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

“This is an open secret. Pilihan Raya Negeri ini bila-bila masa sahaja. Tak ada masalah, cuma tarikh itu saya belum dapat ilham.

“Kalau saya beritahu sekarang, tak ada thrill lah. Keep on chasing me. Catch me if you can,” katanya berseloroh.