KKDW terlebih belanja tidak tepat, setiap projek perlu kelulusan Kementerian Ekonomi- Fadzmel

KKDW terlebih belanja tidak tepat, setiap projek perlu kelulusan Kementerian Ekonomi- Fadzmel

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menegaskan kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) berhubung peruntukan kementerian itu tidak tepat khususnya berhubung berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan.

Setiausaha Akhbar Menteri Kemanjuan Desan dan Wilayah Fadzmel Fadzil berkata, tatacara kewangan kerajaan tidak membenarkan kementerian membuat perbelanjaan melebihi peruntukan yang diluluskan.

Menurutnya, setiap permohonan peruntukan perlu dibentangkan kepada MOF, manakala setiap perbelanjaan pula tertakluk kepada sistem kewangan kerajaan termasuk Integrated Government Financial Management Accounting System (iGFMAS).

“Setiap projek atau program pembangunan juga mesti mendapat kelulusan daripada Kementerian Ekonomi.

“Sekiranya benar berlaku perbelanjaan tidak teratur atau melebihi peruntukan, perkara itu tertakluk kepada arahan Perbendaharaan.

“Sistem kewangan kerajaan juga tidak membenarkan sesuatu projek atau program dibelanjakan tanpa butiran dan peruntukan yang diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Fadzmel berkata, istilah ‘berbelanja melebihi peruntukan’ boleh memberikan gambaran tidak tepat mengenai isu sebenar yang berlaku.

KKDW didapati telah membuat komitmen dan perbelanjaan melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan bagi projek-projek jalan luar bandar sejak beberapa tahun lalu.

Terdahulu MOF dalam kenyataan media hari ini menjelaskan, tiada sebarang sekatan dibuat terhadap peruntukan KKDW berhubung jalan luar bandar, sebaliknya peruntukan berkenaan telah disalurkan sepenuhnya.

Menurut kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican, keadaan berlaku kerana peruntukan tahun semasa telah dilampaui apabila perbelanjaan kepada kontraktor yang berkaitan dibuat melebihi jumlah yang diperuntukkan.

“Sejak beberapa tahun lalu, KKDW telah membuat komitmen dan berbelanja lebih daripada peruntukan tahunan yang diluluskan untuk projek-projek jalan luar bandar,” katanya.

Dalam pada itu Fadzmel berkata, data bagi tahun 2019 hingga 2021 juga penting untuk melihat kedudukan sebenar antara komitmen projek, peruntukan dan pembayaran, terutama ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

Katanya, walaupun pelaksanaan sebahagian projek terjejas ketika tempoh berkenaan, Surat Setuju Terima (SST) bagi projek tertentu sudah dikeluarkan dan komitmen kontrak telah wujud.

“Apabila projek berkenaan kembali berjalan, tuntutan pembayaran daripada kontraktor turut dibawa ke tahun-tahun berikutnya.

“Apabila kerja telah dilaksanakan kontraktor, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk membuat pembayaran mengikut kemajuan kerja dan obligasi kontrak,” katanya.

Menurutnya, projek yang telah dimulakan tidak boleh dihentikan begitu sahaja hanya kerana peruntukan tahunan hampir digunakan sepenuhnya.

Dalam pada itu, katanya, KKDW telah mengambil beberapa langkah kawalan lebih awal termasuk menyusun semula peruntukan dalaman kementerian, mengehadkan komitmen baharu, membatalkan tender berimpak tinggi kepada masyarakat desa serta mengehadkan projek di peringkat pra-pelaksanaan.

Fadzmel berkata, KKDW turut mengemukakan permohonan rasmi kepada MOF pada suku kedua 2026 bagi menampung keperluan pembayaran tertangguh untuk projek yang sedang berjalan.