Air mata Azizulhasni gugur bila ‘khidmatnya’ masih diperlukan negara
Screenshot

Air mata Azizulhasni gugur bila ‘khidmatnya’ masih diperlukan negara

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang tidak dapat menahan air mata apabila mendapat jawapan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) yang mengesahkan ‘khidmatnya’ masih diperlukan.

Azizulhasni berkata, beliau menerima emel daripada KBS dan MSN pada hari merdeka yang memberi lampu hijau kepadanya untuk memburu tike Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

“Hari kemerdekaan ke-69 saya baharu buka emel…memang tak boleh training, bila training memang kosong.

“Saya buka emel, saya terima emel daripada KBS, MSN yang mereka masih memerlukan khidmat saya. Saya tunggu (jawapan ini) daripada saya pergi ke (temasya) Komanwel lagi.

“Alhamdulillah, akhirnya saya dapat jawapan tu,” katanya dalam satu hantaran video di Facebooknya hari ini.

Kemelut mengenai masa depan jaguh berbasikal trek negara Azizulhasni menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) nampaknya menemui titik penyelesaian.

KBS serta MSN telah mengesahkan sokongan terhadap hasrat pelumba berusia 38 tahun itu untuk meneruskan perjuangan memburu tiket ke temasya Olimpik berkenaan.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Amarjit Singh Gill berkata, pihaknya menerima surat daripada MSN semalam yang mengesahkan Azizulhasni akan terus berada dalam program Road to Gold (RTG) bagi persiapan LA28.

Menurutnya, Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari turut mengarahkan MSN supaya memastikan sokongan kepada skuad berbasikal trek negara, termasuk Azizulhasni, diteruskan.

Amarjit berkata perkembangan itu memberikan kelegaan kepada pelumba yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman untuk kembali memberi tumpuan sepenuhnya terhadap misi kelayakan Olimpik.

“Bagi orang yang berkorban untuk negara sahaja (tahu) perasaanya macam mana. Saya ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Ucapan terima kasih juga kepada pihak KBS dan MSN yang masih memerlukan khidmat saya dan memenuhi mandat rakyat,” katanya lagi.-