DAKWAAN bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad bahawa beliau tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) dinafikan oleh salah seorang anggota suruhanjaya berkenaan.
Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, berkata RCI sebenarnya telah mengeluarkan sepina kepada Madinah bagi membolehkan beliau memberikan keterangan dalam prosiding berkenaan.
Menurut beliau, Madinah bagaimanapun memohon supaya keterangannya diberikan secara bersama dengan bekas Timbalan Pengarah Bahagian Audit Kewangan ketika itu, Mona Othman.
Katanya, permintaan berkenaan tidak dibenarkan kerana RCI menetapkan proses rakaman keterangan dibuat secara berasingan bagi setiap saksi.
“Semasa prosiding RCI, kami meneliti keterangan saksi seorang demi seorang.
“Jadi, kami tidak membenarkan beliau (memberi keterangan bersama Mona),” katanya ketika menyertai dialog awam mengenai TH di Tenera Hotel & Suites, di Kajang, hari ini.
Rashid adalah antara enam anggota RCI yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif.
Beliau turut menjelaskan bahawa Madinah diberikan ruang untuk menjawab 75 soalan yang dikemukakan RCI melalui kaedah bertulis.
Jawapan berkenaan kemudiannya dikemukakan oleh Madinah dalam bentuk akuan berkanun dan direkodkan sebagai kenyataan saksi.
“Beliau menyerahkannya pada 1 April 2022,” katanya.
Sebelum ini, Madinah mendakwa dirinya tidak diberikan peluang untuk tampil di hadapan panel RCI walaupun bersedia berbuat demikian.
Beliau mendakwa sudah berada di lokasi prosiding tetapi namanya tidak dipanggil selepas menunggu lebih 30 minit.
Madinah yang memegang jawatan Ketua Audit Negara dari 2017 hingga 2019 turut mempertahankan proses audit terhadap penyata kewangan TH bagi tempoh 2014 hingga 2017.
Beliau sebelum ini menegaskan bahawa tindakan yang diambil ketika itu dibuat dengan mengutamakan kepentingan negara.
Dalam perkembangan berkaitan, RCI mendapati kedudukan kewangan sebenar TH tidak dilaporkan dengan tepat selama beberapa tahun.
Menurut dapatan RCI, TH pada 2017 melaporkan keuntungan kira-kira RM3.4 bilion, sedangkan berdasarkan piawaian perakaunan yang sewajarnya, institusi itu sepatutnya merekodkan kerugian bersih sekitar RM1.4 bilion.
Perbezaan antara angka yang dilaporkan dengan kedudukan kewangan sebenar itu dianggarkan hampir RM4.8 bilion.



