SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan perjuangan parti itu berlandaskan Islam dan seseorang yang menyokong serta berjuang mempertahankan Islam berpeluang memperoleh ganjaran syurga.
Beliau berkata, walaupun PAS merupakan sebuah pertubuhan politik, perjuangan parti itu berteraskan ajaran Islam seperti yang diperintahkan Allah SWT.
“Kalau kita mati kerana berjuang mempertahankan Islam, tidak ada syak lagi, kita akan dianggap mati syahid dan akan diberikan ganjaran pahala serta masuk syurga.
“Jadi mereka (pihak lawan) kata, masuk PAS ini masuk syurga. Ya, masuk PAS, terima Islam dan berjuang di atas landasan Islam, insya-Allah kita boleh masuk syurga apabila kita mati kelak,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Sambutan Jubli Intan 75 Tahun PAS sempena Muktamar PAS ke-75 di Kota Bharu, malam tadi.
Menurutnya, PAS kini mempunyai lebih sejuta ahli di seluruh negara, selain menerima sokongan daripada bukan ahli termasuk masyarakat luar negara.
Beliau mendakwa jumlah keseluruhan penyokong PAS boleh mencecah antara tiga hingga empat juta orang sekiranya sokongan bukan ahli turut diambil kira.
“Orang yang dahulu daripada UMNO, parti lain atau tidak berparti, termasuk golongan yang sebelum ini tidak cakna mengenai politik, orang sukan, pemain bola dan artis, sekarang sudah ramai menjadi ahli PAS,” katanya.
Takiyuddin berkata, PAS yang ditubuhkan pada 1951 kini sudah berusia 75 tahun dan merupakan parti yang membawa seruan Islam.
“Nama pun Parti Islam Se-Malaysia, iaitu satu-satunya parti yang meletakkan nama ‘Islam’ pada parti,” katanya yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN).




