TEKA-TEKI Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh berpindah akan meninggalkan kerusi DUN Merlimau tidak menjadi kenyataan apabila beliau diumumkan kekal mempertahankan kerusi berkenaan.
Sebelum ini, kedudukan Akmal di Merlimau mencetuskan spekulasi selepas beliau memberi bayangan kemungkinan bertanding di kerusi lain, termasuk Serkam atau Sungai Rambai.
Spekulasi itu timbul selepas Akmal mengucapkan terima kasih kepada pengundi Merlimau, sebelum mengajukan persoalan sama ada beliau patut bertanding di Serkam atau Sungai Rambai.
Bagaimanapun, pengumuman senarai calon BN mengesahkan Akmal kekal di Merlimau, sekali gus menamatkan tanda tanya mengenai kerusi yang bakal ditandinginya.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pula kekal mempertahankan kerusi DUN Tanjung Bidara pada PRN kali ini.
Dalam perkembangan sama, senarai calon BN turut menyaksikan beberapa penyandang tidak dipertahankan, termasuk bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang sebelum ini mewakili DUN Lendu.
Antara penyandang lain yang digugurkan ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, VP Shanmugam; Zahari Kalil (Durian Tunggal); Kalsom Noordin (Pengkalan Batu); Rahmad Mariman (Ayer Molek); Zaidi Attan (Serkam) dan Siti Faizah Azis (Sungai Rambai).
Selain perubahan calon, BN turut memindahkan penyandang DUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin ke DUN Sungai Udang.
Kerusi Sungai Udang sebelum ini disandang Dr Aleef Yusof daripada Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, BN tidak bertanding di Paya Rumput, yang termasuk dalam tujuh kerusi diperuntukkan kepada PAS dan rakan gabungannya dalam PN.
Enam lagi kerusi berkenaan ialah Bemban, Bukit Katil, Ayer Keroh, Bandar Hilir, Kota Laksamana dan Kesidang.
Perkembangan senarai calon itu memperlihatkan gabungan perubahan calon, pertukaran kerusi dan pengekalan beberapa penyandang bagi menghadapi PRN Melaka.




