BARISAN Nasional (BN) masih membuka ruang untuk menilai semula calon MCA bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, susulan ketegangan yang tercetus ketika majlis pengumuman calon gabungan itu malam tadi.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rundingan bersama MCA akan diadakan sebelum 31 Oktober ini bagi menyelesaikan isu berkenaan sebelum hari penamaan calon.
Perkembangan itu menyusul tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bertindak meninggalkan dewan ketika majlis pengenalan calon BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), selepas timbul isu berhubung pengumuman calon parti itu.
Menurut Zahid, Ka Siong telah menghubunginya dan menyatakan rasa terkejut kerana tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai pengumuman berkenaan oleh sekretariat.
“Walau bagaimanapun, ini masalah yang akan kita selesaikanlah. Kita akan adakan perbincangan sebelum 31 Oktober ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah Daerah Bagan Datuk, hari ini.
Zahid menjelaskan, keputusan mengenai calon MCA berkemungkinan dibuat hasil perbincangan antara Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dengan kepimpinan MCA negeri.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada kepimpinan parti berkenaan untuk menentukan sama ada senarai calon yang diumumkan itu boleh diterima atau perlu diteliti semula.
“Itu saya serahkan pada Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kerana mungkin beliau telah berbincang dengan pengerusi dan kepimpinan MCA Melaka,” katanya.
Malah, Zahid memberi isyarat bahawa perubahan masih boleh dipertimbangkan kerana beliau belum menandatangani watikah pelantikan calon.
“Ada peluang lagi kalau calon itu tidak dipersetujui kerana saya belum menandatangani watikah pelantikan calon. Jadi, terserah kepada Presiden MCA untuk melakukannya,” ujarnya.
Untuk rekod, MCA diperuntukkan dua kerusi pada PRN Melaka kali ini, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang dan Machap Jaya.
Rundingan yang bakal berlangsung itu menjadi penentu sama ada calon MCA yang diumumkan sebelum ini akan dikekalkan atau sebarang perubahan dibuat menjelang penamaan calon.




