POLIS mengubah klasifikasi siasatan kes kematian Noorizwan Zulkefly ketika berada dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras selepas pemeriksaan forensik mendapati kecederaan pada tubuhnya bukan dilakukan sendiri.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, penemuan itu membawa kepada pengelasan semula kes berkenaan mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah bagi memeras pengakuan atau memaksa pemulangan harta benda.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas pakar perunding perubatan forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), yang menjalankan bedah siasat terhadap mangsa, memberikan keterangan kepada polis.
“Pakar forensik mengesahkan terdapat kecederaan luaran pada beberapa bahagian tubuh si mati, dengan corak kecederaan konsisten dengan trauma akibat hentakan objek tumpul dan bukan kecederaan yang dilakukan sendiri,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Susulan perkembangan itu, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan (D5) Bukit Aman mengambil alih siasatan bagi meneliti secara lanjut bagaimana kecederaan berkenaan berlaku ketika Noorizwan berada dalam tahanan.
Noorizwan sebelum ini ditahan di IPD Cheras bagi membantu siasatan beberapa kes membabitkan Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Kanun Keseksaan, termasuk kesalahan berkaitan dadah, pecah rumah dan mencuri.
Pada 30 September lalu, beliau dirujuk ke HCTM di Cheras untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.52 pagi, 1 Oktober.
Bagaimanapun, punca kematian secara muktamad masih belum dapat dipastikan kerana laporan penuh bedah siasat belum diperoleh, sementara analisis makmal masih dijalankan.
Kumar berkata, polis sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak hospital bagi melengkapkan siasatan, termasuk meneliti peranan pegawai serta anggota yang mengendalikan Noorizwan sepanjang tempoh tahanannya.
“Siasatan diteruskan bagi mengenal pasti pegawai dan anggota polis yang terbabit dalam mengendalikan serta menguruskan si mati sepanjang tempoh dia ditahan di IPD Cheras.
“Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan profesional tanpa sebarang unsur melindungi pihak tertentu, bagi memastikan keadilan jenayah ditegakkan mengikut undang-undang,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen polis untuk memastikan siasatan dijalankan secara telus dan berintegriti, tanpa berkompromi terhadap sebarang salah laku sekiranya dibuktikan berlaku.
Mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan, kesalahan berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.




