SERAMAI 70 individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan berhubung siasatan jenayah korporat menerusi Op Viking, manakala pelbagai aset bernilai ratusan juta ringgit turut dibekukan dan disita Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, setakat ini tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikenal pasti terlibat atau dipanggil bagi membantu siasatan berkenaan.
Menurut kementerian itu, perkara tersebut berdasarkan latar belakang dan identiti saksi yang telah dipanggil untuk dirakam percakapan.
“Setakat 25 September lepas, 70 individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan. PDRM turut menahan beberapa individu serta membekukan dan menyita pelbagai aset yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti yang sedang disiasat,” menurut KDN dalam jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen.
Antara aset yang terlibat ialah lapan bidang hartanah, 11 kenderaan, 417 akaun Sistem Depositori Pusat (CDS), 70 akaun dagangan saham bernilai RM323.59 juta serta 404 akaun bank dengan nilai RM85.62 juta.
KDN menjawab pertanyaan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berhubung skop dan status siasatan PDRM terhadap dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’, termasuk kemungkinan pembabitan pegawai SPRM atau agensi penguatkuasaan lain serta dakwaan penyalahgunaan kuasa.
Menurut kementerian itu, siasatan Op Viking masih diteruskan bagi melengkapkan keseluruhan kertas siasatan.
KDN turut memberi jaminan bahawa PDRM komited menjalankan siasatan secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Melalui Op Viking, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), PDRM telah membuka satu kertas siasatan pada 14 Oktober 2025 di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613),” menurut kementerian itu.



