Hampir semua permohonan pembangunan negeri dilulus Persekutuan – MB Kelantan

Hampir semua permohonan pembangunan negeri dilulus Persekutuan – MB Kelantan

HAMPIR semua permohonan projek pembangunan dan infrastruktur oleh Kerajaan Kelantan diluluskan Persekutuan.

Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, perkara itu hasil hubungan dan kerjasama baik antara kedua-dua pihak yang mencapai kesepakatan melalui perbincangan.

Menurutnya, antara perkembangan positif termasuk menjadikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebagai lapangan terbang antarabangsa dan persetujuan penyambungan termasuk cadangan menyambung Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hingga ke Rantau Panjang.

“Dengan hubungan baik antara negeri dan Persekutuan, kami berbincang dan membuat permohonan.

“Hampir semua yang kita minta, kita dapat, termasuk Empangan Lebir pun diumumkan, saya ucap terima kasih dan apabila semua siap nanti peluang pekerjaan pun akan ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri, Saizol Ismail (Pas-Salor) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu pada Ahad.

Beliau mengulas, kerja-kerja pembinaan dan pemanjangan landasan lapangan terbang antarabangsa itu sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada Disember tahun depan.

“Kerja pembinaan tambahan landasan kapal terbang itu perlu dilakukan pada waktu malam bagi mengelakkan gangguan terhadap operasi penerbangan yang melibatkan kira-kira 42 pendaratan sehari,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, permohonan kerajaan negeri supaya jajaran ECRL dilanjutkan hingga ke Rantau Panjang berikutan kedudukan strategik kawasan itu yang bersempadan dengan selatan Thailand juga diluluskan.

“Permohonan ini mendapat respons yang baik dan Perdana Menteri sudah mengumumkan bahawa Persekutuan dah setuju untuk sambung ECRL sampai ke Rantau Panjang.

“Jadi, kita kena lihat Kelantan ini negeri yang bersempadan dengan negara, jangan pandang sebagai sebuah negeri saja,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Nassuruddin berkata, pembangunan infrastruktur seperti pelabuhan juga penting bagi menarik pelaburan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Pelabuhan antara faktor utama membolehkan kawasan perindustrian berkembang dan menarik minat syarikat untuk membuka kilang di Kelantan.

“Kerajaan negeri akan terus mengadakan perbincangan dengan Persekutuan bagi memastikan keperluan pembangunan negeri ini dapat dipenuhi,” ujar beliau.

Tambahnya, sebarang halangan pelaksanaan projek perlu dikenal pasti lebih awal dan diselesaikan menerusi perbincangan antara agensi kerajaan negeri dan Persekutuan supaya tindakan penyelesaian dapat dilakukan lebih berkesan.