Pendidikan pondok diperkasa, laluan universiti dibuka lebih luas – Anwar

Pendidikan pondok diperkasa, laluan universiti dibuka lebih luas – Anwar

KERAJAAN komited membuka lebih banyak peluang kepada pelajar institusi pondok untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi, termasuk di universiti, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan sistem pendidikan pondok terus diperkasa dan mendapat pengiktirafan sewajarnya, sekali gus membolehkan penuntutnya bersaing dalam arus pembangunan negara tanpa mengetepikan asas keilmuan Islam.

Menurutnya, institusi pondok bukan sahaja berperanan sebagai pusat pengajian agama, malah menjadi benteng dalam mempertahankan akidah serta tunjang kekuatan ummah.

Anwar berkata, warisan keilmuan Islam itu turut memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri masyarakat, memelihara nilai agama dan memastikan keharmonian negara terus terpelihara.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan ringkas selepas menunaikan solat Maghrib di Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubuk Tapah, di Pasir Mas, malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerajaan tidak akan meminggirkan kepentingan institusi pondok, sebaliknya akan terus menambah baik sistem pendidikan serta melaksanakan kerja-kerja pembaikan bagi memastikan kemudahan pembelajaran lebih selesa untuk para pelajar.

Terdahulu, Perdana Menteri menyampaikan sumbangan berjumlah RM200,000 kepada Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubuk Tapah.

Beliau turut menunaikan solat Maghrib bersama lebih 100 penduduk dari kawasan kampung berkenaan.