KDN tunggu penjelasan mahkamah berhubung kekeliruan perintah pelepasan Najib

KDN tunggu penjelasan mahkamah berhubung kekeliruan perintah pelepasan Najib

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) meminta penjelasan lanjut berhubung perbezaan tafsiran perintah mahkamah berkaitan status bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, susulan pembayaran denda RM50 juta.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kekeliruan timbul apabila perkataan discharge digunakan dalam perintah mahkamah selepas pembayaran RM50 juta dibuat kepada Jabatan Akauntan Negara.

Beliau berkata, selepas pembayaran itu, mahkamah mengeluarkan pemakluman kepada KDN serta perintah order of discharge yang menimbulkan persoalan mengenai status dan bidang kuasa Jabatan Penjara terhadap Najib.

Menurutnya, terdapat perbezaan ketara antara maksud pelepasan (discharge) dengan pelaksanaan tahanan rumah kerana kedua-duanya membawa implikasi berbeza dari sudut kuasa undang-undang.

“Kalau tahanan rumah, penjara masih ada autoriti. Tapi kalau pelepasan, penjara tak ada autoriti apa lagi,” katanya ketika berkempen di Melaka pada Isnin.

Saifuddin menjelaskan, sekiranya Najib menjalani tahanan rumah, beliau masih dianggap sedang menjalani baki hukuman penjara, cuma lokasi pelaksanaan hukuman dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediaman yang diwartakan.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan istilah discharge dalam perintah mahkamah menimbulkan persoalan sama ada Jabatan Penjara masih mempunyai kuasa terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Beliau berkata, perintah berkenaan dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Tinggi dan KDN sudah mendapatkan pandangan daripada Peguam Negara berhubung perkara itu.

“Kalau ada dua interpretasi, mahkamah adalah platform terbaik. Jadi Kementerian Dalam Negeri akan akur dan hormati proses itu,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, perkara yang perlu diperjelaskan ialah sama ada terdapat keperluan untuk mendapatkan penjelasan lanjut bagi menyelesaikan perbezaan tafsiran berkenaan.

Menurutnya, KDN mahu memastikan kedudukan undang-undang dan bidang kuasa Jabatan Penjara dapat diperjelaskan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.