Zahid nafi sabotaj kerajaan, risau Rayer ditimpa ‘kemaluan’

Zahid nafi sabotaj kerajaan, risau Rayer ditimpa ‘kemaluan’

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer supaya meneliti sendiri bukti berhubung dakwaan pembatalan projek pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan kenyataannya mengenai isu berkenaan bukan tuduhan kosong atau cubaan mencetuskan ketegangan dalam Kerajaan Madani, sebaliknya berdasarkan dokumen arahan yang dimilikinya.

Malah, beliau bersedia menunjukkan surat berkenaan bagi membuktikan bahawa arahan pembatalan Surat Setuju Terima (SST) projek terbabit sememangnya dikeluarkan.

“Saya mempunyai bukti surat arahan yang dikeluarkan. Saya boleh tunjukkan kepada Ahli Parlimen Jelutong.

“Saya takut beliau ditimpa dengan penuh kemaluan,” katanya seperti dipetik MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET MARA Peringkat Negeri Melaka 2026 di Dewan MPJ Alamanda, di Jasin, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan perkara yang dibangkitkannya bukan sekadar melibatkan penangguhan pelaksanaan projek, tetapi turut membabitkan arahan membatalkan SST yang sudah dan bakal dikeluarkan.

“Saya tidak bermaksud demikian tetapi faktanya begitulah. Sama ada ia ditangguh atau dibatalkan, yang jelas semua SST yang telah dan akan dikeluarkan itu diarahkan untuk dibatalkan,” katanya.

Isu itu tercetus selepas Ahmad Zahid ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di peringkat dasar minggu lalu mendakwa beberapa projek pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak bagi 2026 dibatalkan meskipun peruntukan sudah disediakan.

Beliau sebelum ini turut memaklumkan arahan pembatalan berkenaan dikeluarkan oleh ketua setiausaha sebuah kementerian, namun tidak memperincikan kementerian terbabit atau jumlah projek yang terjejas.

Kenyataan itu mengundang reaksi Rayer yang menuduh Ahmad Zahid cuba mensabotaj Kerajaan Madani dengan membangkitkan isu berkenaan.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menolak dakwaan tersebut dan menyifatkan kritikan Rayer sebagai perkara yang sudah menjadi kebiasaan ahli Parlimen DAP itu ketika membahaskan sesuatu isu di Dewan Rakyat.

“Bila masa YB Jelutong ini tidak membuat bising di Parlimen? Apatah lagi ketika beliau berada di barisan pembangkang,” katanya.

Beliau turut mendakwa Rayer sebagai “backbencher” mempunyai peranan tertentu dalam membangkitkan serangan terhadapnya.

“Sebagai backbencher, saya tahu beliau diarahkan untuk menghentam dan itu memang lumrah yang beliau lakukan,” katanya.