‘Masalah sebenar bukan DAP, tetapi pemimpin Melayu tiada prinsip’ -Anwar

‘Masalah sebenar bukan DAP, tetapi pemimpin Melayu tiada prinsip’ -Anwar

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan masalah sebenar negara bukan berpunca daripada kerjasama politik dengan DAP, sebaliknya kegagalan memilih pemimpin Melayu yang mempunyai prinsip dan integriti.

Beliau berkata, kepimpinan negara tidak seharusnya dinilai berdasarkan kaum semata-mata, sebaliknya mengambil kira akhlak, kejujuran dan keupayaan seseorang menggalas amanah rakyat.

“Kita, masalah kita ini bukan masalah Cina dan orang Melayu lah. Masalahnya nak pastikan pimpinan Melayu yang ada prinsip.

“Takkanlah tak ada. Di Melaka ini ramai, anak-anak muda ramai. Pilih yang baik, pilih yang bersih, pilih yang ada nilai. Jangan bila ada kuasa sedikit, kira nak sakau saja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Pesta Melaka, Rumah Kita di Taman Melaka Perdana, malam tadi

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, kerjasama antara kaum penting bagi memastikan kestabilan negara, namun tidak bermakna prinsip perjuangan atau kepentingan masyarakat Melayu perlu diketepikan.

Menurutnya, rakyat perlu menilai pemimpin berdasarkan rekod dan kewibawaan, bukan terpengaruh dengan sentimen perkauman yang dimainkan dalam persaingan politik.

“Jadi kita pilih pimpinan Melayu yang bagaimana? Pasal dia Melayu? atau pasal dia itu akhlaknya baik, prinsipnya ada, tak curi, tak sakau, tak sombong?” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengundi supaya memberikan ruang kepada pemimpin muda yang bersih dan berkeupayaan untuk menerajui masa depan negeri.