PERSEFAHAMAN antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diperkukuh demi membina semula perpaduan dalam kalangan umat Islam di Malaysia.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama BN-PN di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menunjukkan perkembangan lebih positif berbanding pengalaman kedua-dua gabungan itu di PRN Negeri Sembilan dan PRN Johor, lapor BuletinTV3.
Abdul Hadi berkata, perkembangan itu turut mencerminkan peningkatan usaha ke arah perpaduan ummah yang berteraskan keadilan kepada semua kaum, dengan orang Melayu dan Islam memainkan peranan sebagai pemimpin.
“Alhamdulillah, kerjasama (BN-PN) di Melaka lebih mantap daripada (PRN) Negeri Sembilan dan (PRN) Johor.
“Makin hari makin meningkat untuk perpaduan ummah bukan di atas nama perkauman (ketuanan) Melayu, tidak…tapi untuk adil kepada semua dan orang Melayu, Islam perlu memimpin.
“Ini yang kita nak tunaikan dan insya-Allah, kemantapan (kerjasama BN-PN) di Melaka ini lebih mantap lagi sehingga peringkat pilihan raya umum,” katanya pada sidang media Pentas Grand Finale BN dan PN PRN Melaka di Bukit Katil, malam tadi.
Terdahulu, ketika berucap pada ceramah sama beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mengingatkan umat Islam supaya tidak berpecah.
Abdul Hadi menggunakan perumpamaan ‘lesung dan alu yang berlaga’ untuk menggambarkan bagaimana perselisihan sesama sendiri akhirnya menguntungkan pihak ketiga.
Abdul Hadi turut menyatakan harapan agar kerjasama berkenaan dapat diteruskan sehingga peringkat Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan pada masa sama memberi gambaran bahawa persefahaman itu tidak terhad kepada PRN sahaja.
Pada 29 Oktober lalu, BN memeterai perjanjian persefahaman politik dengan PN bagi menghadapi PRN Melaka ke-16.
Perjanjian itu ditandatangani Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mewakili BN, manakala PN diwakili Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan disaksikan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.




