ENAM Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan, hari ini.
Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah jawatan dilakukan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti.
Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan kedua-dua putera baginda Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.
Hadir sama, Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Rembau dan Undang Luak Jelebu.
Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan itu berlangsung pukul 10.45 pagi turut disaksikan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
Pelantikan EXCO terbabit sekali gus membolehkan pentadbiran kerajaan negeri kembali dibentuk hari ini selepas berdepan kemelut hampir empat bulan.
Mereka yang dilantik membabitkan empat daripada Barisan Nasional (BN)/UMNO iaitu ADUN Kota, Suhaimi Aini; ADUN Senaling, Mohamad Qayyum Abd Jalil; ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir dan ADUN Repah, Koh Kim Swee (MCA).
Selain itu, turut dilantik ialah ADUN Gemas daripada WAWASAN, Ridzuan Ahmad dan ADUN Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria daripada PAS.
Dalam pada itu, Ismail mengucapkan tahniah kepada semua ADUN yang diperkenankan pelantikan sebagai EXCO serta menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan atas perkenan terhadap pelantikan berkenaan.
Pada Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan yang berlangsung Ogos lalu menyaksikan BN memenangi 18 kerusi daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN tujuh, sekali gus diberi mandat membentuk kerajaan negeri bagi penggal baharu.
Seramai 10 EXCO telah mengangkat sumpah jawatan 7 Ogos lalu, namun pelantikan mereka telah dibatalkan dan diwartakan.




