PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan menggadaikan hak penduduk asal menerusi penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA), sebaliknya undang-undang itu diperlukan bagi membolehkan kawasan perumahan daif dibangunkan semula.
Beliau berkata, RUU berkenaan tidak mempunyai sebarang motif perkauman atau bertujuan memenuhi kepentingan golongan pemaju seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Menurutnya, kerajaan bersetuju dengan keperluan pembaharuan bandar, namun pelaksanaannya mesti disertakan jaminan jelas bagi memastikan hak penduduk asal terus terpelihara.
“Tetapi kalau tanya saya, saya tidak sanggup melihat perumahan begitu daif di Kuala Lumpur ini. Jadi harus dilakukan sesuatu dan perlu undang-undang dengan jaminan, ini saya setuju, jaminan yang jelas pertahankan hak penduduk asal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan mengenai RUU URA dalam program Dialog Negara yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 dan Awani malam tadi.
Anwar turut menolak dakwaan bahawa RUU berkenaan merupakan strategi kaum tertentu untuk menguasai kawasan perumahan, sambil menegaskan kerajaan pimpinannya kekal komited mempertahankan kepentingan Melayu dan Bumiputera.
Malah, beliau berkata, kerajaan telah mengambil langkah bersejarah apabila 50 ekar tanah di Kuala Lumpur disahkan sebagai Tanah Rizab Melayu.
“Kali pertama dalam sejarah sejak merdeka, tanah di Kuala Lumpur disahkan sebagai tanah rizab Melayu, 50 ekar permulaan.
“Itu belum pernah berlaku. Jadi soal kita nak tolak ansur dengan tuntutan gerombolan pemodal, tak mungkin,” katanya.
Mengulas keperluan RUU itu, Anwar berkata, pembangunan semula kawasan perumahan daif di Kuala Lumpur sebelum ini berdepan kesukaran apabila memerlukan persetujuan 100 peratus penghuni.
Justeru, beliau berpandangan satu kerangka perundangan diperlukan bagi membolehkan proses pembaharuan bandar dilaksanakan dengan lebih teratur, tanpa mengabaikan kepentingan penduduk yang terlibat.




