
Kerajaan Madani Komited Perkasa Proses Pelantikan Kehakiman – PM Anwar
KUALA LUMPUR, 9 April 2025 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan MADANI kekal komited untuk memperkasa proses pelantikan kehakiman melalui semakan semula Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta SPK) secara menyeluruh.
Dalam satu kenyataan media, Anwar memaklumkan bahawa kerajaan mengambil maklum mengenai tindakan undang-undang yang difailkan di Mahkamah Tinggi bagi menyemak kesahan perlembagaan Akta SPK. Beliau menegaskan bahawa kerajaan menghormati sepenuhnya hak mana-mana individu untuk mendapatkan tafsiran Perlembagaan melalui proses kehakiman dan menjamin bahawa perjalanan proses itu bebas daripada sebarang campur tangan.
Anwar turut mengakui bahawa struktur dan keanggotaan SPK serta peranannya dalam proses pelantikan kehakiman telah menjadi persoalan sejak sekian lama. Isu ini telah dibangkitkan oleh pelbagai pihak termasuk badan kehakiman, Majlis Peguam dan pertubuhan masyarakat sivil (NGO).
“Persoalan ini bukan sesuatu yang boleh diketepikan dan ia menuntut penelitian serius dari sudut undang-undang, institusi dan Perlembagaan,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar menzahirkan komitmen reformasi Kerajaan MADANI untuk mengkaji semula kerangka kerja SPK agar selaras dengan semangat pembaharuan institusi, prinsip ketelusan dan kebebasan badan kehakiman. Kajian semula itu akan melibatkan rundingan bersama pihak berkepentingan termasuk institusi kehakiman, Majlis Raja-Raja, Majlis Peguam dan NGO.
“Matlamatnya adalah untuk memperbaiki sebarang kelompongan serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap integriti sistem keadilan negara,” ujar beliau.
Anwar turut menegaskan bahawa sebarang reformasi yang bakal dibawa akan berteraskan prinsip Perlembagaan, termasuk pengasingan kuasa, sistem Raja Berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Akhirnya, beliau menegaskan pendirian Kerajaan MADANI untuk terus bertindak dengan telus, bertanggungjawab dan menghormati kesemua institusi Perlembagaan dalam menguruskan isu sepenting ini. b