
Malaysia Kecam Sekeras-kerasnya Serangan Isreal Terhadap Iran
๐๐๐๐๐๐๐๐๐, ๐๐ ๐๐ฎ๐ง ๐๐๐๐ โ Kerajaan Malaysia hari ini mengeluarkan kenyataan tegas mengecam sekeras-kerasnya serangan tentera rejim Zionis Israel ke atas Republik Islam Iran yang berlaku pada 13 Jun 2025. Kementerian Luar Negeri menyifatkan tindakan itu sebagai pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta mendatangkan ancaman serius kepada keamanan global.
Dalam kenyataan rasmi, Wisma Putra menegaskan bahawa tindakan ketenteraan Israel tanpa sebarang provokasi bukan sahaja meragut nyawa anggota tentera Iran, malah turut mengorbankan orang awam yang tidak bersalah dan memusnahkan infrastruktur penting di beberapa lokasi di Iran.
Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB, agar mengambil tindakan segera mengutuk kekejaman rejim Israel dan memastikan pihak tersebut dipertanggungjawabkan mengikut lunas undang-undang antarabangsa.
“Pada saat genting ini, usaha bersungguh-sungguh perlu diambil untuk mengelakkan peningkatan ketegangan yang boleh menggugat kestabilan serantau. Malaysia menyokong usaha dialog antara Amerika Syarikat dan Iran untuk menyambung semula rundingan diplomatik berhubung program nuklear Iran,” menurut kenyataan itu lagi.
Malaysia turut mengulangi komitmen negara terhadap prinsip dialog dan diplomasi sebagai jalan penyelesaian kepada semua konflik global, dengan matlamat mewujudkan keamanan sejagat yang berkekalan.
Kenyataan ini mencerminkan pendirian konsisten Malaysia dalam memperjuangkan keadilan, keamanan antarabangsa, serta menghormati kedaulatan dan undang-undang negara-negara berdaulat.