BARISAN Nasional (BN) berazam mengembalikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya berjaya menawan semula Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian itu turut dipersetujui parti-parti komponen gabungan berkenaan, termasuk MCA yang sejak sekian lama konsisten membangkitkan isu pelaksanaan semula cukai tersebut.
Menurutnya, MCA perlu terus memperjuangkan cadangan berkenaan kerana sistem GST dilihat mampu membantu mewujudkan sistem percukaian lebih menyeluruh dan adil, selain menyokong perkembangan golongan peniaga tempatan.
“Suara MCA kena kuat dalam memperjuangkan perkara ini. Saya setuju GST dikembalikan.
“GST dilaksanakan di lebih 170 negara, hanya Malaysia yang tertinggal dan melaksanakan SST umpama menoleh semula ke belakang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung MCA Ke-4 di Dewan San Choon, Wisma MCA, di Kuala Lumpur hari hari ini.
Timbalan Perdana Menteri itu turut mengimbau pelaksanaan GST ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sambil menegaskan BN bersedia mengembalikan sistem cukai berkenaan sekiranya diberi mandat semula.
“Bossku (Najib) dah buat yang terbaik dahulu! Saya dan rakan-rakan BN berazam kalau kita menawan Putrajaya semula, kita terus kembalikan GST!” katanya yang disambut sorakan perwakilan MCA.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menjelaskan cadangan mengembalikan GST bukan bermaksud menolak sepenuhnya pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), sebaliknya bertujuan memastikan negara mempunyai sistem percukaian yang lebih saksama.
Beliau turut menggesa MCA supaya terus menyuarakan cadangan dasar yang boleh diperjuangkan bersama dalam BN demi kepentingan rakyat.
“Siapa yang akan memperjuangkan nasib rakyat jika kita tidak berdiri bersama-sama,” ujarnya.




