UMNO guna pakai resipi tiga negeri hadapi rundingan kerjasama PN

UMNO guna pakai resipi tiga negeri hadapi rundingan kerjasama PN

PENGALAMAN menjalin pelbagai bentuk hubungan politik di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka akan dijadikan panduan oleh UMNO dalam mengemudi rundingan kerjasama Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kejayaan model kerjasama di ketiga-tiga negeri tersebut membuktikan bahawa perbezaan pendekatan boleh disesuaikan mengikut keperluan setempat demi mencapai matlamat politik yang lebih besar.

“Kita telah tunjukkan pelbagai bentuk hubungan yang telah kita jayakannya seperti di Johor, seperti di Negeri Sembilan dan seperti di Melaka.

“Di Johor mereka bersetuju untuk bertanding hanya beberapa kerusi. Di Negeri Sembilan persefahaman. Manakala di Melaka kerjasama. Atas sebab itulah manifesto tu manifesto bersama.

“Di Negeri Sembilan persefahaman. Jadi semua itu kita akan bincang. Saya percaya apa sahaja isu ataupun cabaran dan masalah ataupun ketidak persetujuan tentunya akan diambil kira dalam lingkungan matlamat yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir merasmikan Hari Apresiasi Tabika Kemas Program IQRA’ dan Fardhu Ain (IQRA’) Tabika Kemas Parlimen Kota Tinggi Tahun 2026 di Lotus Desaru, Kota Tinggi, hari ini.

Mengulas kemungkinan rundingan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan PN berdepan cabaran khususnya berkaitan pembahagian kerusi, Mohamed Khaled berkata, beliau mengambil pendekatan positif untuk memastikan perbincangan dapat mencapai matlamat yang ditetapkan.