Gov News

Teknologi ‘Direct to Cell’ luaskan capaian internet hingga ke perairan luar Malaysia

TEKNOLOGI ‘Direct to Cell’ kini sedang dibangunkan dalam usaha memperluas capaian internet di seluruh negara, termasuk di kawasan perairan luar pesisir Malaysia, kata Datuk Fahmi Fadzil.

Menteri Komunikasi itu berkata, teknologi tersebut sedang dimuktamadkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku ketiga atau keempat tahun ini.


“Bagi kawasan perairan pula, kita ada satu dasar yang sedang dirangka dan belum dapat dilaksanakan pada masa ini, iaitu teknologi ‘Direct to Cell’.


“Teknologi ini akan memanfaatkan penggunaan satelit yang berfungsi seperti menara pemancar, tetapi dari angkasa, bagi memastikan capaian internet yang lebih menyeluruh,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Menara Komunikasi di Tanjung Asam, Gertak Sanggul, di Pulau Pinang, hari ini.


Fahmi menjelaskan, antara keutamaan kementerian dan MCMC adalah memastikan liputan internet berkualiti tinggi dapat dinikmati oleh rakyat di pelbagai kawasan termasuk lokasi pedalaman, pesisir dan perairan negara.

Pada masa sama, beliau berkata, MCMC juga sedang bekerjasama rapat dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi menyediakan kemudahan akses internet di kira-kira 50 kilometer laluan lebuh raya di seluruh negara yang masih belum mempunyai capaian internet.


Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam memastikan kesamarataan digital untuk semua, selaras dengan matlamat negara menuju era digital inklusif dan mampan.

Back to top button