
Kerajaan jamin bil elektrik pengguna tidak naik
KERAJAAN memberi jaminan pelaksanaan sktruktur tarif elektrik baharu yang bermula hari ini tidak akan meningkatkan bil bulanan elektrik pengguna.
Sebaliknya, menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil , ia akan menyaksikan penurunan purata kos elektrik sehingga 19 peratus berbanding tempoh sebelumnya.
Beliau menjelaskan, pengguna yang menggunakan kurang daripada 1,000 kilowatt jam (kWj) sebulan dijangka akan terus menikmati kadar bil sedia ada, dan ada kemungkinan akan mengalami pengurangan.
“Semua akaun TNB yang menggunakan kurang daripada 1,000 kilowatt jam dijangka bukan sahaja bilnya kekal, malah berkemungkinan akan turun. Ini berdasarkan maklumat yang telah diterbitkan oleh TNB.
“Kita jangkakan bagi kebanyakan isi rumah, kita akan saksikan sama ada tarifnya, bilnya sama ataupun berkurangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke Menara (MOCN) 4G 6 Hala YES Tanjung Asam, Gertak Sanggul di Pulau Pinang, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menjelaskan, antara reformasi yang dilaksanakan oleh Kementerian Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) ialah pengenalan waktu puncak penggunaan elektrik yang ditetapkan antara pukul 2 petang hingga 10 malam.
Justeru, beliau menasihati pengguna agar menggunakan peralatan elektrik berkuasa tinggi di luar waktu puncak sebagai langkah untuk mengoptimumkan penjimatan tenaga dan mengurangkan kos bil.
Sementara itu, Suruhanjaya Tenaga memaklumkan bahawa struktur tarif baharu yang telah diluluskan kerajaan ini akan memastikan kadar elektrik yang lebih adil, progresif dan mampu milik, memberi manfaat kepada lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia.
Penetapan tarif berkenaan akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027 mengikut Kerangka Kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), selaras dengan Seksyen 26 Akta Bekalan Elektrik 1990.
Perubahan di bawah tempoh regulatori keempat (RP4) itu melibatkan penstrukturan semula tiga komponen utama, iaitu kadar purata tarif asas, jadual tarif baharu, dan mekanisme pelarasan kos bahan api.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi turut menegaskan bahawa kerajaan akan bertindak tegas terhadap sebarang aduan berkaitan pencatutan atau manipulasi harga yang mungkin berlaku susulan pelaksanaan tarif baharu ini.
Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan Ops Kesan 4.0 secara serentak hari ini bagi membanteras sebarang aktiviti yang boleh menekan pengguna.