Madani News

Malaysia teraju negara ASEAN tangani jenayah siber

Oleh: Wahid Isa

MALAYSIA akan meneraju negara ASEAN dalam memperkasakan cabaran menangani jenayah siber yang melibatkan negara-negara serantau.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbezaan ketara antara negara anggota dalam aspek takrifan, siasatan dan pendakwaan jenayah siber merupakan cabaran utama yang perlu ditangani secara kolektif di peringkat serantau.

Jelasnya, selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia akan mengetuai pembangunan Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN 2026–2030 yang dijangka dibentangkan pada Sidang Kemuncak ASEAN akan datang.

“Saya menggesa Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN 2026–2030 memberi tumpuan kepada usaha membolehkan kerjasama dalam kalangan negara anggota.

“Khususnya dalam tindak balas insiden, forensik digital, pertukaran data yang selamat dan penyelarasan dasar.

“Dengan teknologi berkembang pantas, jurang ini semakin melebar dan penjenayah siber mengambil kesempatan terhadap ketidaktentuan undang-undang merentasi sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan dan Pameran Pertahanan Siber dan Keselamatan (CYDES) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, hari ini.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, serta Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin.

Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan enam institusi pengajian tinggi awam serta swasta bagi memperkukuh kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan bakat dalam bidang keselamatan siber.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan, strategi berkenaan perlu berlandaskan prinsip kerahsiaan, kedaulatan serta kepercayaan bersama dalam menangani ancaman keselamatan siber yang bersifat sensitif dan merentasi sempadan negara.

Menurutnya, inisiatif ini menandakan peralihan besar bagi ASEAN daripada sekadar hasrat kepada pelaksanaan yang lebih menyeluruh dan berkesan.

Pada masa sama, beliau juga menegaskan komitmen kerajaan dalam menangani jenayah siber di peringkat nasional dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang pencerobohan ruang digital negara.

“Mesej kami jelas, kami akan melindungi ruang digital Malaysia dan tidak akan berkompromi,” katanya.

Ahmad Zahid turut menjelaskan, jenayah siber yang dilaporkan sepanjang tahun 2024 telah mengakibatkan kerugian sebanyak RM1.5 bilion kepada rakyat Malaysia, melibatkan lebih 35,000 mangsa.

Back to top button