
China, Russia setuju sertai Perjanjian SEANWFZ – Tok Mat
CHINA dan Russia bersetuju untuk menandatangani Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), kata Datuk Seri Mohamad Hasan.
Bagaimanapun Menteri Luar itu berkata, Amerika Syarikat kini sedang meneliti kemungkinan untuk turut memeterai perjanjian berkenaan.
Beliau berkata, penglibatan kuasa besar dalam perjanjian tersebut akan membantu memastikan Asia Tenggara kekal sebagai sebuah rantau yang aman dan bebas daripada ancaman senjata nuklear.
“Kita telah bangunkan supaya Asia Tenggara menjadi sebuah rantau yang aman, dan minggu depan menteri-menteri luar negara terlibat akan bermesyuarat,” katanya semasa majlis ramah mesra Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakyat Malaysia di Itali, yang berlangsung di Rom, semalam.
Majlis tersebut diadakan sempena lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri ke Itali, dan rakamannya dikongsi kepada BERNAMA, hari ini
Perjanjian SEANWFZ, atau dikenali sebagai Perjanjian Bangkok, telah ditandatangani pada Disember 1995 oleh kesemua 10 negara anggota ASEAN dan mula berkuat kuasa pada Mac 1997.
Menerusi protokol perjanjian itu, negara-negara kuasa nuklear (Nuclear Weapon States – NWS) dikehendaki menghormati SEANWFZ dengan tidak melakukan sebarang tindakan yang melanggarnya, tidak menggunakan atau mengancam untuk menggunakan senjata nuklear terhadap mana-mana pihak, serta tidak membawa ancaman nuklear ke dalam zon yang ditetapkan.
Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Menteri Luar ASEAN ke-58 dan Mesyuarat Berkaitan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 8 hingga 11 Julai ini.
Malaysia kini memegang Kepengerusian ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, yang menggambarkan komitmen negara dalam membina ASEAN yang bersatu, aman dan makmur.
Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.