Madani News

PM arah kedutaan bantu Dalila yang terkandas di Itali

DATUK Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kedutaan Malaysia di Itali supaya mengambil tindakan segera bagi membantu seorang rakyat Malaysia yang terkandas di Milan setelah pasport miliknya dicuri.

Perdana Menteri berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Luar Negeri untuk memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil segera demi keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Dalila Zaidi.

Terdahulu pengguna akaun X dengan nama @daalilaz membuat ciapan kepada Perdana Menteri, memohon bantuan setelah mengalami kecurian pasport ketika berada di sekitar stesen Santa Sofia, Milan, pada 30 Jun 2025.

“Salam PMX @anwaribrahim, my name is Dalila Zaidi and I’m a Malaysian currently stranded in Milan after my passport was stolen in the afternoon yesterday, 30 June 2025 near Santa Sofia station… I truly appreciate your attention to this,” katanya dalam ciapan berkenaan.

Dalam ciapan itu juga, Dalila memaklum dia telah cuba mendapatkan Sijil Perjalanan Kecemasan daripada Kedutaan Besar Malaysia di Rom, namun dimaklumkan bahawa urusan berkenaan tidak dapat dilaksanakan kerana ketiadaan pegawai untuk menandatangani dokumen yang diperlukan.

Difahamkan, ketiadaan pegawai bertugas itu adalah disebabkan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Itali yang berlangsung dari 1 hingga 3 Julai 2025.

Terdahulu, pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan delegasi beliau berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 2.15 petang.

Lawatan tersebut adalah atas jemputan rasmi oleh Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni.

Back to top button