Malaysian News

Tragedi Sungai Korok: Kerajaan akan pasang lampu, penghadang

KERAJAAN akan meneliti cadangan pemasangan lampu jalan dan pembinaan pagar penghadang di laluan berhampiran Sungai Korok, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ciri-ciri keselamatan di sepanjang jalan berkenaan penting dipertingkatkan bagi mengelak tragedi menyayat hati yang meragut enam nyawa sekeluarga semalam tidak lagi berulang.

“Kita difahamkan laluan ini tidak mempunyai lampu jalan dan keadaan agak gelap. Jadi, saya akan ikhtiarkan pemasangan lampu jalan bukan sahaja di kawasan ini, tetapi juga di kawasan-kawasan gelap yang lain.

“Saya juga akan maklumkan perkara ini kepada menteri yang berkaitan kerana secara kebetulan saya merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan Jalan Raya. Tindakan segera perlu diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengunjungi rumah nenek kepada Putri Qisya Nur Izzat, 12, satu-satunya anak mangsa yang terselamat dalam tragedi itu, di Kampung Bohor Karang, Jerlun, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyatakan komitmen kerajaan untuk menjaga kebajikan Putri Qisya yang kehilangan kedua-dua ibu bapa dan empat adik-beradiknya dalam kejadian itu.

“Saya telah nasihatkan adik ini supaya menjadi anak yang solehah, kerana doa anak yang solehah kepada ibu bapa tiada hijab.

“Saya juga galakkan dia untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depannya. Insyallah, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bersedia menerimanya tahun depan dan perkara itu turut dipersetujui oleh neneknya,” katanya.

Back to top button