
Tarif import AS: Malaysia kena bertindak pantas
MALAYSIA harus bertindak tangkas dan menyesuaikan keadaan, susulan tarif import 25 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia, kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata, masih terdapat beberapa negara lain yang berdepan dengan tarif import jauh lebih tinggi.
“Bukan Malaysia sahaja yang berdepan tarif tambahan daripada AS. Apa yang saya ingin tekankan, daripada jumlah keseluruhan eksport sebanyak RM186 bilion, hanya sekitar RM20 bilion sahaja yang dieksport ke AS.
“Dalam dunia ini terdapat kira-kira 190 negara, jadi tidak mungkin disebabkan tindakan tarif AS, kita semua tidak boleh berniaga dan menjalankan ekonomi. Justeru, kita perlu menyesuaikan keadaan dan bertindak dengan pantas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi taklimat dan dialog industri sawit di ibu negara, semalam.
Sementara itu, mengulas mengenai kadar tarif 32 peratus yang dikenakan AS terhadap Indonesia, Johari berpendapat ia tidak memberi kelebihan yang ketara kepada pengeksport minyak sawit Malaysia.
Ini kerana kos pengeluaran komoditi itu di Indonesia, jauh lebih rendah berbanding Malaysia.
“Walaupun mereka dikenakan tarif 32 peratus, produk mereka jauh lebih murah dan tidak sama seperti Malaysia yang mempunyai pekerja asing. Berbeza dengan Indonesia yang menggunakan tenaga kerja tempatan.
“Malaysia menumpukan kepada standard dan soal pekerja asing juga melibatkan kos levi yang perlu dibayar. Namun, kedua-dua negara mempunyai kelebihan masing-masing.
“Indonesia mempunyai populasi sekitar 300 juta, manakala Malaysia hanya 34 juta. Daripada jumlah itu, kita menggunakan kira-kira 4 juta pekerja dan menghasilkan 19 juta metrik tan pengeluaran sawit.
“Maka, 15 juta metrik tan perlu dijual dan dieksport. Kalau tidak, siapa yang akan membeli? Oleh itu, kita juga memastikan kualiti pengeluaran sawit mencapai standard tertentu dan itu sedang kita usahakan,” katanya.