Gov News

Kenaikan Tarif: Malaysia akan terus berbincang bersama Amerika

KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan meneruskan rundingan bersama Amerika Syarikat (AS) dengan hasrat yang baik untuk menangani isu-isu yang belum selesai, menjelaskan skop dan kesan yang diumumkan, serta meneroka jalan bagi mencapai penyelesaian dalam masa yang sewajarnya.

MITI dalam satu kenyataan hari ini berkata, usaha-usaha ini masih berjalan dan mencerminkan kesediaan Malaysia untuk mencapai hasil yang adil dan mampan bagi kedua-dua pihak.

Kenyataan itu susulan tindakan Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif import sebanyak 25 peratus akan dikenakan terhadap Malaysia bermula 1 Ogos ini.

“Walaupun kami mengakui kebimbangan yang dibangkitkan oleh AS berkenaan ketidakseimbangan perdagangan dan akses pasaran, kami percaya bahawa penglibatan dan dialog yang membina adalah jalan terbaik ke hadapan,” menurut kenyataan itu.

Menurut MITI, Malaysia menghargai hubungan ekonomi dan perdagangan yang telah lama terjalin dengan AS, di samping mengiktiraf peranan penting perdagangan terbuka dan adil dalam menyokong peluang pekerjaan serta pertumbuhan ekonomi di kedua-dua negara.

Sehubungan itu, katanya Malaysia komited untuk terus menjalinkan kerjasama dengan AS ke arah mencapai perjanjian perdagangan yang seimbang, saling menguntungkan, dan menyeluruh.

Ia berkata, AS merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan destinasi eksport terbesar, dengan jumlah dagangan pada tahun 2024 meningkat hampir 30 peratus kepada RM324.9 bilion (AS$71.4 bilion).

“Eksport ke AS mencecah RM198.7 bilion (AS$43.7 bilion), manakala import meningkat kepada RM126.3 bilion (AS$27.7 bilion),” katanya.

MITI menambah, Malaysia memandang langkah unilateral sebagai sesuatu yang boleh mengganggu operasi perniagaan, rantaian bekalan, dan aliran pelaburan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Justeru katanya, Malaysia amat percaya bahawa penyelesaian yang boleh diterima oleh kedua-dua boleh dicari demi melindungi kepentingan negara dan rakyat masing-masing, di samping memastikan perdagangan dan pelaburan dua hala terus menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang mampan.

“Kerajaan kekal komited untuk melindungi kepentingan perniagaan, pekerja, dan pengguna di Malaysia, dan akan mengambil segala langkah yang perlu bagi mengurangkan kesan daripada langkah-langkah baharu ini.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkepentingan atas sokongan dan kerjasama yang berterusan,” katanya.

Antara negara yang akan menghadapi tarif 25 peratus ialah Jepun, Korea Selatan, Tunisia, Kazakhstan manakala kadar lebih tinggi akan dikenakan terhadap negara lain antaranya Afrika Selatan dan Bosnia & Herzegovina (30 peratus); Serbia dan Bangladesh (35 peratus); Kemboja dan Thailand (36 peratus) serta sehingga 40 peratus untuk Laos dan Myanmar.

Back to top button