
OPR turun kepada 2.75 peratus
BANK Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini.
Seiring itu, BNM berkata, kadar siling dan lantai koridor OPR turut dikurangkan masing-masing kepada 3.0 peratus dan 2.5 peratus.
Ini adalah kali pertama bank pusat menurunkan OPR selepas mengekalkan kadar itu sebanyak 12 kali sejak Mei 2023.
“Petunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan global terus berkembang, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang berterusan dan pada tahap tertentu, aktiviti yang diawalkan.
“Unjuran pertumbuhan global dijangka terus disokong oleh keadaan pasaran buruh yang positif, dasar monetari yang kurang ketat serta rangsangan fiskal.
“Namun, prospek ini masih dibayangi ketidaktentuan berhubung perkembangan tarif dan ketegangan geopolitik. Ketidaktentuan ini juga boleh membawa kepada peningkatan turun naik dalam pasaran kewangan global dan harga komoditi,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut BNM, perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan aktiviti ekonomi negara yang berterusan pada suku kedua, didorong oleh permintaan domestik yang kukuh serta pertumbuhan eksport.
Tegasnya, pertumbuhan dijangka terus disokong oleh daya tahan permintaan dalam negeri dengan pertumbuhan pekerjaan dan upah, khususnya dalam sektor yang berorientasikan domestik, serta langkah dasar berkaitan pendapatan akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah.
Katanya, pengembangan aktiviti pelaburan akan terus didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, tahap pelaksanaan pelaburan yang diluluskan yang tinggi secara berterusan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional yang sedang berjalan.
“Hasil rundingan perdagangan yang menggalakkan, dasar pro-pertumbuhan di ekonomi utama dunia, permintaan berterusan terhadap barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta aktiviti pelancongan yang rancak turut dijangka dapat meningkatkan prospek eksport Malaysia,” katanya.