
Khairuddin tegur ulamak PAS
Oleh Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
SAYA membaca kenyataan media oleh Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengulas insiden kekhilafan Presiden UMNO ketika berucap melibatkan metafora berkaitan malaikat Allah.
Namun, saya melihat kenyataan tersebut lebih bersifat kepentingan politik kepartian berbanding memberikan pandangan nasihat oleh ulama apabila menyindir Presiden UMNO dengan mengaitkan kononnya “tiada apa yang perlu dibanggakan dengan pertuduhan yang telah dihadap terhadap beliau” yang kononnya “diselamatkan oleh peguam negara” menurut DUPP.
Suka saya memperingatkan Dewan Ulamak PAS Pusat, bahawa Muafakat Nasional (MN) ditubuhkan pada 14 September 2019 dalam suasana Presiden UMNO telah dihadapkan dengan tuduhan di Mahkamah sejak julai 2018 tetapi PAS ketika itu menegaskan prinsip Islam “seseorang tidak bersalah selagi tidak dibuktikan sebaliknya”.
Justeru, ia tidak menghalang PAS meneruskan muafakat politik dengan UMNO dan juga tidak menghalang dua presiden parti berpelukan di pentas akibat kegembiraan ketika menandatangani Muafakat Nasional.
Namun nada itu telah berubah apabila menjelang PRU 2022 apabila UMNO dituduh sebagai “keruh” bagi dijadikan alasan merungkai MN tanpa batu nisan.
Sebagai satu dewan menghimpunkan para alim ulamak dalam PAS, DUPP perlu konsistan dengan prinsip keadilan Islam melibatkan apa sahaja pertuduhan di mahkamah apatah lagi apabila “dibebaskan tanpa dilepaskan” oleh mahkamah dan tidak menjadikan apa-apa pertuduhan di mahkamah sebagai modal politik murahan.
Apatah lagi apabila pertuduhan lebih bermotifkan politik untuk menekan Presiden UMNO agar membubarkan parti UMNO.
Saya turut mengalu-alukan kesegeraan DUPP mengeluarkan kenyataan dalam insiden ini, namun alangkah baiknya kesegeraan yang sama dibuat oleh Dewan Ulamak apabila pemimpin utama PAS khususnya dari negeri Kedah yang Ketua DUPP juga adalah Pesuruhjayanya dengan angkuh dan sombong berucap dipentas politik dengan segala bentuk maki hamun dan cercaan pada pemimpin parti lain dan juga apabila pimpinan pemuda PAS dengan angkuh dan sombongnya melakukan dosa Qazaf terhadap Perdana Menteri.
Sedang umum mengetahui segala maki hamun dan jenayah Qazaf adalah dosa yang tiada khilaf lagi di kalangan umat Islam.
Dosa mencerca muslim adalah sebagaimana Hadis:
سِبابُ المسلمِ فسوقٌ
“mencerca muslim adalah kefasikan”
(Hadis riwayat Bukhari no 48 dan Muslim no 64)
Sebagai rekod, Presiden UMNO telah memohon ampun kepada Allah atas kekhilafan beliau dalam insiden tersebut. Ia adalah sifat tawaduk merendah diri seorang pemimpin sebagai hamba Allah segera mengakui kesilapan dan memohon ampun kepada Allah atas kesalahan.
Ia juga menjadi teladan yang baik bagi pemimpin-pemimpin politik negara. Dan taubat adalah perkara yang wajib dan akhlak mulia seorang hamba yang diangkat oleh Allah Taala.
Maka, sebaiknya Dewan Ulamak PAS pula menegur para pengikut parti yang masih terus menjadikan insiden kekhilafan ini sebagai isu politik dengan mengecam dan menghina Presiden UMNO atas kehilafan tersebut setelah beliau memohon ampun kepada Allah.
Marilah kita merenung Hadis Qudsi yang mengangkat nilai taubat dan istighfar selepas tersilap. Allah Taala berfirman dalam Hadis Qudsi:
أَذنَب عبْدٌ ذَنباً، فقالَ: اللَّهُمَّ اغفِرْ لِي ذَنبي، فَقَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعالى: أَذَنَبَ عبدِي ذَنباً، فَعلِم أَنَّ لَهُ رَبّاً يَغْفِرُ الذَّنْبَ
“Seorang hamba telah melakukan satu dosa lalu dia berkata; Ya Allah ampunkan untukku dosaku. Maka Allah Tabaraka wa Taala berfirman; hamba-Ku telah melakukan satu dosa lalu dia mengetahui bahawa dia ada Tuhan yang mengampunkan dosa”.
(Hadis riwayat Bukhari no 7507 dan Muslim 2758)
Juga, saya peringatkan DUPP dengan hadis yang menggambarkan betapa gembiranya Allah dengan taubat hambanya melebihi kegembiraan seorang yang kehilangan unta dan bekalan di padang pasir tetapi berjaya ditemui semula, sehinggakan akibat terlalu gembira dia terlanjur menyebut; “Ya Allah kamulah hambaku dan akulah Tuhanmu”; dia tersilap kata lantaran terlalu gembira. Namun, kegembiraan Allah dengan taubat hamba-Nya melebihi kegembiraan hamba tersebut.
(Hadis riwayat Muslim no 2747)
Sebagai penutup, saya menasihatkan Dewan Ulamak PAS Pusat agar sentiasa menghiasi diri dengan akhlak Islam dan sentiasa berada di atas prinsip Islam dalam berinteraksi dengan kawan dan lawan politik kepartian.
Penulis ialah
Penasihat Agama kepada YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO.
Nota editor: Artikel ini diambil sepenuhnya dari kenyataan penulis dan disiarkan tanpa suntingan.