Sultan Selangor minta Adun Seri Kembangan, Ronnie Liu ‘hadam’ Rukun Negara

Sultan Selangor minta Adun Seri Kembangan, Ronnie Liu ‘hadam’ Rukun Negara

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah meminta Adun Seri Kembangan, Wong Siew Ki dari DAP dan bekas Exco DAP negeri Selangor, Ronnie Liu supaya membaca serta memahami prinsip Rukun Negara agar menjadi rakyat yang tahun menghormati institusi raja.

Baginda turut bertitah menyeru wakil rakyat negeri Selangor agar hadir ke Dataran Selangor di Shah Alam setiap dua kali sebulan bagi membaca serta memahami Rukun Negara.

“Beta juga menyeru kepada semua ahli yang berhormat wakil rakyat negeri Selangor untuk datang sendiri ke Dataran Selangor ini setiap dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada plak monumen ini.

“Khusus ditujukan kepada wakil rakyat Seri Kembangan, YB Puan Wong Siew Ki dari DAP dan bekas Exco DAP Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, beta sarankan agar datanglah seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk fahamkan dan hayati makna Rukun Negara, agar menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Baginda turut berkongsi gambar berangkat ke Dataran Selangor untuk melihat sendiri plak monumen Rukun Negara yang ditempatkan berhadapan dengan tiang bendera negeri Selangor.

Plak monumen ini dibina dan dipasang oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor berserta dengan tempat duduk (benches) yang disediakan untuk para pengunjung dibiayai sepenuhnya oleh baginda.

Sebelum ini, Wong ketika membahaskan titah Sultan Sharafuddin menggesa agar kerajaan negeri Selangor mempertimbangkan penggunaan sistem penternakan babi moden dan memaklumkan bahawa isu berkenaan menyentuh hak kesamarataan di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Mengenai isu penternakan babi dalam titah ucapan, Seri Kembangan memohon ampun Tuanku, menyembah bahawa isu ini juga menyentuh hak kesamarataan warganegara yang terjamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Penternakan babi tidak seharusnya dibezakan daripada penternakan haiwan yang lain. Risiko pencemaran, aspek kebersihan serta kesihatan dalam penternakan babi adalah sama seperti yang dihadapi oleh penternakan haiwan lain,” katanya ketika berucap.

Manakala Ronnie pula dalam respon balas terhadap titah Sultan Selangor yang menoktahkan tiada penternakan babi di negeri itu meminta penternak mencabar titah Tuanku di mahkamah.

Katanya, titah Sultan Selangor bukan satu bentuk undang-undang yang tidak boleh disanggah.

Dalam kenyataan itu baginda mengimbas kembali dan mengingatkan mengenai sejarah bagaimana lahirnya konsep Rukun Negara.

“Segalanya bermula ketika darurat diisytiharkan akibat tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang ditubuhkan sebagai badan pemerintah pada ketika itu, telah berunding bersama anggota-anggotanya untuk melahirkan konsep Rukun Negara sebagai manifestasi ideologi kebangsaan bagi tujuan pengukuhan perpaduan antara kaum di negara ini,” titah bagin