
MCMC berkuasa siasat kandungan jelik berdasarkan FIR
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (MCMC) diberi kuasa menyiasat kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), berdasarkan Laporan Maklumat Pertama (FIR) yang diterima daripada orang awam dan permohonan agensi penguatkuasaan lain.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata, bertindak atas FIR itu, proses siasatan akan dijalankan agensi penguatkuasaan di bawah peruntukan berkaitan kesalahan tertentu, seperti di bawah Seksyen 233 Akta 588, jika ada penerbitan kandungan berunsur lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik melampau.
MCMC dalam perkara tertentu bertindak memberikan bantuan teknikal kepada agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Seterusnya, pemeriksaan akan dijalankan pegawai diberi kuasa MCMC, sama ada mendapatkan waran geledah daripada mahkamah mengikut Seksyen 247 Akta 588 atau kerjasama PDRM di bawah Seksyen 248 Akta 588.
“Bagi kes yang disiasat, notis di bawah Seksyen 255 Akta 588 (kuasa menghendaki kehadiran orang yang tahu mengenai kes) boleh dikeluarkan terhadap individu disiasat MCMC.
“Rakaman percakapan individu berkenaan juga akan diambil di bawah Seksyen 256 Akta 588 bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau bekata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) yang meminta Kementerian Komunikasi menyatakan prosedur siasatan MCMC terhadap aduan berkait kenyataan-kenyataan di media sosial.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, peranti komunikasi milik individu berkenaan boleh disita, sama ada oleh MCMC atau PDRM, jika terdapat bukti awal yang boleh mengaitkan mereka dengan kesalahan disiasat, diikuti pelaksanaan ujian forensik bagi mendapatkan bukti teknikal berkaitan.
“Kertas siasatan lengkap akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya (TPR) bagi pertimbangan dan keputusan memulakan pendakwaan di mahkamah atau mana-mana keputusan lain yang termaktub dalam undang-undang.
“Tawaran kompaun juga boleh ditentukan pada peringkat ini melalui izin yang diperoleh daripada TPR di Jabatan Peguam Negara,” katanya.