Gov News

KPDN sekat penggunaan kad kredit, debit asing di pam minyak bermula April

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan langkah drastik bagi memperketat kawalan subsidi petrol RON95.

Bermula Rabu depan (1 April 2026), penggunaan kad kredit dan kad debit asing akan disekat secara berperingkat di semua pam minyak seluruh negara.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha integrasi sistem pangkalan data identiti (MyKad) dan sistem perbankan bagi memastikan hanya rakyat yang layak menikmati subsidi bahan api tersebut.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam menjelaskan bahawa sistem di stesen minyak kini sedang diselaraskan untuk bertindak sebagai ‘penapis’ automatik.

“Selepas 1 April ini, sistem secara automatik akan menapis transaksi. Jika pengguna ingin menggunakan kad asing, mereka tidak lagi boleh melakukannya terus di pam, sebaliknya perlu membuat pembayaran di kaunter,” katanya seperti dipetik AWANI.

Langkah ini bukan sahaja memudahkan pemantauan, malah mengurangkan beban fizikal pekerja stesen minyak yang sebelum ini perlu mengawasi setiap pam bagi mengelakkan ketirisan subsidi kepada kenderaan asing.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan angka mengejutkan mengenai kos subsidi negara. Akibat konflik yang melanda Asia Barat, kos subsidi RON95 melonjak mendadak daripada RM700 juta kepada RM4 bilion sebulan.

Beliau menyifatkan jumlah tersebut terlalu besar untuk “dibakar di atas jalan raya” dan sepatutnya disalurkan kepada pembangunan hospital, sekolah, dan bantuan tunai kepada golongan memerlukan.

Kerajaan menegaskan tindakan ini adalah langkah sementara bagi memastikan pengurusan fiskal negara kekal stabil sehingga keadaan global kembali pulih.

Back to top button