
7,099 calon SPM 2025 tak hadir duduki peperiksaan
ANALISIS keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mencatatkan ketidakhadiran seramai 7,099 calon bagi semua mata pelajaran.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, angka ketidakhadiran itu membabitkan 1.79 peratus daripada 395,740 calon baharu yang berdaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran dalam peperiksaan SPM 2025, lapor BH Online.
Katanya, jumlah itu menurun berbanding 8,108 calon pada 2024 sekali gus menunjukkan perkembangan yang positif.
“Pelbagai faktor yang menyumbang kepada ketidakhadiran murid daripada menduduki peperiksaan antaranya bekerja, berpindah ke luar negara, terbabit dalam kemalangan serta masalah keluarga.
“Ada juga antara calon mempunyai masalah kesihatan, masalah pengangkutan, meninggal dunia selain ada yang ditahan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2025 di Kementerian Pendidikan (KPM), hari ini.


