Malaysia jemput Trump atas kapasiti pengerusi ASEAN

Malaysia jemput Trump atas kapasiti pengerusi ASEAN

JEMPUTAN kerajaan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara Oktober ini atas dasar kepengerusian ASEAN.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil menegaskan, kehadiran Trump dilihat satu kesempatan baik untuk Malaysia berunding isu Palestin.

“Jemputan adalah bagi pihak 10 campur satu negara Asia, dan ini peluang yang baik untuk semua negara Asia berinteraksi bukan sahaja dengan Presiden Donald Trump, tetapi juga ramai pemimpin dunia lain yang turut dijemput hadir.

“Jadi sudah pasti ini platform yang baik untuk Perdana Menteri bercakap terus terang dengan Presiden Amerika Syarikat,” katanya.

Tambah Fahmi adalah lebih bermakna buat Malaysia untuk menyuarakan kepada Trump ketika mana negara dunia semakin banyak mengiktiraf Palestin.

“Lebih bermakna untuk kita dalam saat sekarang apabila banyak negara telah mengiktiraf kewujudan negara bangsa Palestin.

“Inilah masa yang sesuai untuk kita menjemput dan menyatakan bukan sahaja pendirian Malaysia, tetapi juga hasrat Malaysia untuk terlibat dalam membangunkan semula Palestin,” katanya pada sidang media selepas melawat Sumud Nusantara Command Center (SNCC) di Sepang, semalam.

kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pihak yang mempertikaikan jemputan kepada Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara bulan depan.

Anwar berkata, Malaysia akan menggunakan platform diplomasi berkenaan untuk terus menyuarakan isu Palestin.

Tegasnya, Malaysia perlu bijak berunding dan mengekalkan suara yang tegas dalam mempertahankan kebenaran, namun dengan cara berstrategi.

Perdana Menteri berkata walaupun bukan negara besar, Malaysia tetap dihormati dunia kerana pendirian yang konsisten dalam mempertahankan keadilan serta kebebasan bersuara di pentas antarabangsa.