Malaysian News

Rakyat Malaysia beruntung dapat harga murah – Ahmad Maslan

RAKYAT Malaysia bertuah kerana dapat menikmati harga petrol RON95 yang dijual pada RM1.99 seliter seperti diumumkan Kerajaan Madani.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, harga yang diumumkan kerajaan kepada rakyat Malaysia itu merupakan yang terendah di rantau ini berbanding negara jiran.

Ahmad Maslan berkata, harga petrol di Malaysia jauh lebih rendah berbanding Arab Saudi (RM2.61 seliter), Indonesia (RM3.22), Filipina (RM4.22), Thailand (RM5.68) dan Singapura (RM9.02).

“Rakyat Malaysia beruntung kerana semua golongan mendapat manfaat, tanpa mengira pendapatan. Hanya bukan warga negara dan syarikat besar tidak layak.

“Ini menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tunaikan janji. Lama rakyat menunggu, dan akhirnya janji ini dapat ditunaikan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Ahli Parlimen Pontian itu ditemui selepas meninjau pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95) bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah di sebuah stesen minyak di Kampung Sungai Naga, Api-Api.

Beliau menambah, perincian pelaksanaan subsidi akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan dalam masa terdekat.

“Ini jelas menunjukkan kerajaan komited memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Back to top button