Madani News

Kedatangan Trump buka ruang rundingan hentikan kekejaman Israel

DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akan digunakan sepenuhnya bagi membuka ruang kepada laluan bantuan kemanusiaan yang lebih besar buat Gaza.

Perdana Menteri berkata, pertemuan itu bakal menjadi ‘turning point’ untuk Israel menghentikan kezaliman terhadap rakyat Palestin di Gaza.

“Ini tentunya bukan penyelesaian muktamad dan tentunya kita tidak pula mahu sekadar menjadi jaguh kampung, tetapi ia akan menjadi permulaan yang memungkinkan terhentinya segala bentuk serangan dan ancaman.

“Serta menjadi ruang untuk suara untuk keadilan dan keamanan dilonjak ke peringkat dan pentas yang tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media meninjau Markas Utama MAPIM untuk Global Sumud Flotilla di Sepang, semalam.

Perdana Menteri turut memuji kecekalan aktivis kemanusiaan dari Malaysia yang mengharungi pelayaran penuh rintangan itu.

Beliau turut menzahirkan penghargaan di atas kecekalan semua peserta misi kemanusiaan itu yang tidak gentar mengharungi pelayaran itu.

Jelasnya, kecekalan para perwira berhari-hari membelah samudera demi keadilan menjentik nurani dan menjadi sumber kekuatan, tidak hanya kepada warga Palestin di Gaza tetapi juga kepada masyarakat dunia.

“Kerajaan kekal mendukung dan bersama, selain memastikan bantuan kemanusiaan segera disalurkan dan apa yang utama adalah para perwira selamat sampai ke bumi Gaza kelak dan dijangka mula memasuki zon merah pada esok hari,” katanya

Back to top button