
23 sukarelawan Malaysia sah ditahan Israel
PUSAT Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan kesemua 23 sukarelawan Malaysia yang bersama misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ditahan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di perairan Mediterranean berhampiran Gaza, petang tadi.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim, berkata pada pukul 4.25 petang waktu Malaysia kesemua sukarelawan terbabit ditahan IDG.
Jelasnya, pengesahan itu dibuat berdasarkan maklumat serta visual yang diterima.
“SNCC memaklumkan pada jam 4.25 petang waktu Malaysia, semua 23 delegasi Malaysia diisytiharkan telah ditahan.
“Mengikut SOP, apabila kita terputus hubungan dengan mereka dan terdapat visual yang menunjukkan mereka ditahan oleh pihak IDF,” katanya dalam sidang media di SNCC, Sepang, malam tadi.
Mengulas mengenai kedudukan sukarelawan yang juga selebriti Malaysia Ardell Aryana berhubung kapal dinaikinya telah berada di perairan Gaza.
SNCC percaya Ardell tidak berada di atas kapal Mikeno berkenaan Dan dipercayai telah ditahan IDF.
“Melihat kepada apa yang berlaku di dalam tracker dan maklumat yang kita perolehi untuk kapal Ardell, kita menjangkakan bahawa Ardell tidak lagi berada di atas kapal.
“Kemungkinan pertama kerana kapal sudah tidak bergerak. Kemungkinan kedua, beliau masih ada di atas kapal. Namun pihak SNCC lebih cenderung mengatakan bahawa cepat atau lambat mereka ini akan dipindahkan ke darat,” katanya.