Malaysian News

Menantu Muhyiddin dipercayai hidup mewah di Asia Barat

MENANTU bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, dipercayai kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara di Asia Barat.

Adlan, yang melarikan diri lebih dua tahun lalu, dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menghadapi tuduhan pecah amanah membabitkan puluhan juta ringgit.

Akhbar The New Straits Times (NST) dalam laporannya berkongsi beberapa gambar menunjukkan Adlan bersama beberapa kenamaan dipercayai dari Asia Barat.

Malah, dalam satu daripada imej tersebut, turut kelihatan potret seorang pemimpin negara berkenaan.

Memetik laporan NST, Adlan dikatakan kerap keluar masuk negara berkenaan untuk perjalanan ke luar negara, termasuk ke Thailand bagi bermain golf dan mengunjungi lapang sasar menembak.

Difahamkan, keluarganya turut bersamanya, namun maklumat ini belum dapat disahkan.

SPRM dalam laporan sebelum ini berkata, Adlan dipercayai tinggal di sebuah negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.

Ahli perniagaan berusia 49 tahun itu meninggalkan negara ini menuju ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas bapa mentuanya (Muhyiddin) didakwa atas beberapa pertuduhan rasuah.

Turut melarikan diri adalah peguamnya, Mansoor Saat, 70, yang menuju ke Jakarta empat hari selepas Adlan dan tidak kembali sehingga kini.

Mansoor turut berdepan tuduhan pecah amanah membabitkan projek National Enforcement and Registration (Biometrics) System (NERS), yang dibiayai melalui kemudahan sukuk bernilai RM595 juta.

Projek NERS bertujuan meningkatkan keselamatan negara melalui pengumpulan data biometrik. Namun, siasatan mendapati hampir RM50 juta hasil kutipan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sepatutnya digunakan untuk pembayaran balik sukuk telah diselewengkan.

Siasatan SPRM mengenal pasti Adlan dan Mansoor sebagai individu yang dipercayai terbabit dalam kes itu, yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Susulan itu kedua-duanya mengeluarkan kenyataan melalui peguam masing-masing menafikan bahawa mereka melarikan diri bagi mengelak pendakwaan.

Back to top button