
Anwar, Sanusi setuju berdamai tamat saman fitnah
AKHIRNYA setelah hampir tiga tahun berlarutan, pertikaian saman fitnah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terlerai hari ini.
Masing-masing mencapai kata sepakat untuk berdamai di luar Mahkamah menerusi kenyataan bersama.
Anwar dan Sanusi berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira kesan dan kos perundangan akan ditanggung, selain keperluan memberi tumpuan kepada isu lebih besar demi kepentingan negara.
Berikutan persetujuan itu, Sanusi secara terbuka menarik balik kenyataannya terhadap Anwar yang dibuat pada 13 Nov 2022, dengan suci hati dan tanpa syarat.
Anwar turut bersetuju menarik semula saman fitnahnya terhadap Sanusi tanpa perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula kes.
“Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan daripada prosiding ini, pihak-pihak dengan itu mengambil langkah penarikan balik ini sebagai usaha untuk menjernihkan keadaan dan mengekalkan hubungan yang baik dan berhemah antara kedua-dua pihak,” menurut kenyataan bersama itu.
Sanusi turut memberi jaminan untuk tidak mengulangi sebarang kenyataan yang menjadi asas tindakan guaman tersebut selepas ini.
Kedua-dua pihak juga merakamkan penghargaan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Mohd Johan Lee, atas usaha mediasi yang membawa kepada penyelesaian itu.
Anwar dan Sanusi berharap penyelesaian itu diterima dan dihormati oleh semua pihak serta tidak dijadikan bahan yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan negara.
Pada Disember 2022, Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Sanusi selepas pemimpin Pas itu didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai perwatakan moral beliau ketika berkempen pada PRU15.
Dalam saman difailkan Tetuan S N Nair & Partners di Mahkamah Tinggi di Alor Setar, Anwar menuntut ganti rugi terhadap Sanusi kerana merosakkan reputasinya.
Sanusi didakwa membuat kenyataan itu pada satu ceramah menjelang PRU. Selepas itu, video ucapan berkenaan disiarkan di Facebook