
MCMC siasat berita palsu sekolah pondok ditutup
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu yang menyebarkan berita palsu kononnya sekolah pondok tidak berdaftar di Kedah dan Kelantan akan ditutup.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, aduan mengenai penyebaran berita tidak benar itu telah diserahkan kepada MCMC untuk tindakan lanjut.
“Semalam telah dimaklumkan berita palsu di media sosial mendakwa kononnya pihak kerajaan ingin menutup sekolah pondok tidak berdaftar di Kedah dan Kelantan.
“Semalam Menteri Hal Ehwal Agama telah menafikan. Aduan telah dipanjangkan kepada MCMC untuk mengenal pasti mereka yang terlibat menghasilkan dan menyebar berita palsu ini,” katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya, hari ini.
Beliau menegaskan, penyebaran berita palsu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Saya pohon berhati-hati dengan kandungan yang disebar terutama di media sosial supaya kita sahkan maklumat dengan media arus perdana,” katanya lagi.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya kerajaan atau jabatan di bawahnya akan mengarahkan penutupan pondok tidak berdaftar di Kelantan dan Kedah.
Beliau berkata, tiada sebarang arahan penutupan pondok dikeluarkan dan dakwaan itu tidak benar, berniat jahat serta bersifat fitnah.


