Madani News

Trump akui Anwar tokoh hebat

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim figura penting dalam merintis usaha damai antara Thailand dan Kemboja.

Jelasnya, Malaysia mengambil tanggungjawab besar dan segera selaku tuan rumah kepada pemimpin kedua-dua negara mengadakan pertemuan di Putrajaya bagi meredakan ketegangan.

Trump turut menggelar Anwar sebagai tokoh hebat dan bersejarah atas peranannya dalam perjanjian damai itu, sambil menegaskan bahawa beliau terpanggil untuk melawat Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 selepas Perdana Menteri berjaya menyelesaikan pertikaian antara kedua-dua negara berkenaan.

“Kedua-dua pemimpin (Thailand dan Kemboja) amat menghormati antara satu sama lain, namun Perdana Menteri (Anwar) memainkan peranan penting dalam membantu mempertemukan kedua-dua pihak untuk mengadakan rundingan di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian damai KL Peace Accord atau Perjanjian Damai KL antara Thailand dan Kemboja sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

Perjanjian damai berkenaan ditandatangani Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet dengan disaksikan Anwar selaku Pengerusi ASEAN dan Trump.

Terdahulu, Trump menegaskan, beliau menghubungi Anwar sebaik sahaja konflik itu tercetus dan memaklumkan untuk Malaysia berperanan sebagai negara ketiga dan neutral dalam menyelesaikan isu tersebut.

“Ketika krisis antara Kemboja dan Thailand tercetus, saya segera menghubungi Anwar dan berkata, sekiranya kita berjaya menyelesaikan konflik ini, saya akan datang ke negara anda, dan saya buktikan hari ini,” katanya.

Pada masa sama, Trump turut mengucapkan tahinah kepada Charnvirakul dan rakan sejawatnya, Hun Manet atas persetujuan yang dicapai berhubung konflik antara kedua-dua negara tersebut.

Malah, beliau turut menyifatkan kedua-dua pemimpin berkenaan sebagai berani apabila bersetuju mengambil langkah luar biasa dalam memeterai perjanjian damai tersebut.

“Bagi pihak AS, saya berasa bangga kerana telah membantu menyelesaikan konflik ini dan membentuk masa depan bagi rantau ini, di mana negara-negara berdaulat dapat berkembang dalam suasana selamat, terjamin dan aman,” katanya.

Back to top button