Madani News

Anwar gesa Trump terus fokus capai keamanan di Gaza

DATUK Seri Anwar Ibrahim menggunakan peluang bersemuka dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan menggesa terus fokus dalam merintis keamanan di dunia, khususnya di Semenanjung Gaza.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi ASEAN menyifatkan Trump sudah memainkan peranan penting dalam memastikan keamanan dicapai di wilayah Palestin itu, khususnya menerusi Pelan Damai digagaskan pentadbirannya bersama beberapa negara sebelum ini.

“(Terima kasih) kepada Presiden (Trump) atas usahanya memastikan keamanan di banyak bahagian dunia, termasuk Gaza dan berharap beliau untuk kekal fokus dan memastikan terdapat keamanan yang menyeluruh, seperti dunia perlukan.

“Saya benar-benar gembira untuk mendengar daripada anda secara peribadi akan tekad Presiden untuk memastikan keamanan dapat dicapai di kawasan yang paling sukar, paling mustahil itu (Gaza)… (namun kini ia) semakin hampir,” katanya, lapor Berita Harian.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Perjanjian damai itu ditandatangani Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet di luar acara Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan hari ini.

Back to top button