Malaysian News

Kes kaitkan Anwar campur tangan SPRM diklasifikasikan NFA

JABATAN Peguam Negara (AGC) tidak mengambil tindakan lanjut berhubung laporan media antarabangsa yang mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan dalam urusan SPRM.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kes berkenaan telah diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).

Arahan NFA dikeluarkan AGC berhubung siasatan polis terhadap laporan Bloomberg tahun lalu itu memandangkan tiada keterangan yang mencukupi untuk diteruskan.

“Walau bagaimanapun, kes jenayah, tidak seperti kes sivil, tidak tertakluk kepada had tempoh masa.Oleh itu, sekiranya terdapat perkembangan baharu pada masa akan datang, siasatan dan semakan lanjut terhadap kes ini masih boleh dijalankan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang dikeluarkan semalam.

Jawapan Azalina itu bagi menjawab soalan dibangkitkan Datuk Mohammad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) pada sesi pertanyaan lisan.

Azalina memaklumkan bahawa kertas siasatan oleh polis telah dikemukakan kepada AGC untuk tindakan lanjut susulan laporan yang dibuat oleh SPRM kepada pihak polis.

Dalam jawapannya, Azalina turut menyatakan bahawa dalam kes yang melibatkan fitnah di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan, tiada tempoh had masa ditetapkan bagi memfailkan tindakan jenayah berkaitan fitnah.

Pada September tahun lalu, Bloomberg yang memetik sumber melaporkan perdana menteri dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, didakwa terlibat dalam penyalahgunaan kuasa siasatan secara terancang berhubung beberapa siasatan terpilih oleh agensi antirasuah itu.

Tuduhan tersebut dikatakan melibatkan penindasan politik yang tertumpu kepada bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin, dengan balunya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, membuat laporan polis terhadap Anwar berhubung dakwaan berkenaan.

Laporan Bloomberg turut mendakwa bahawa Anwar mengarahkan Azam supaya tidak menyiasat bekas pembantunya, Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berhubung pembelian saham dalam syarikat HeiTech Padu Bhd.

Back to top button