
Tolak Belanjawan 2026, tapi minta berjela-jela peruntukan -Ahmad Maslan
MENOLAK menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 ketika pengundian peringkat dasar di Dewan Rakyat, namun tetap pelbagai peruntukan daripada Kerajaan MADANI.
Itulah sikap pembangkang yang ditegur Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan kerana tindakan tidak konsisten mereka di Dewan Rakyat, hari ini.
“Semalam (Ahli Parlimen) pembangkang tak sokong pun Belanjawan (2026), tetapi minta berjela-jela, macam malas saya nak menjawab. Kenapa tak sokong (Belanjawan 2026) semalam, lepas itu minta itu dan minta ini.
“Sedangkan, Mersing yang merupakan kawasan maritim dan pelancongan berpotensi untuk dimajukan sekiranya jaringan perhubungan seperti jalan raya yang baik dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya pada sesi jawapan Menteri.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PN Mersing, Muhammad Islahuddin Abas yang bertanyakan berkenaan rancangan kerajaan untuk menaik taraf infrastruktur khususnya jalan raya yang dikatakan banyak bermasalah.
Menjawab kepada soalan Muhammad Islahuddin itu juga, Ahmad Maslan secara berseloroh berkata, “Saya akan fikirkan apabila kawasan Mersing bersama dengan Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan MADANI.”
Kenyataan itu menyebabkan Ahli Parlimen PN Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mencelah, menyarankan supaya Ahmad meletak jawatan jika ‘malas’ menjawab.
Namun, Ahmad menjelaskan kenyataan ‘malas’ itu merujuk kepada tindakan sebahagian wakil rakyat pembangkang yang menurutnya, bukan sahaja tidak menyokong belanjawan, malah sering tidak hadir ketika sesi perbahasan.
Tidak mahu perang mulut itu berpanjangan, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor kemudiannya menjelaskan, beliau dari segi peraturan tidak boleh memaksa Menteri atau Timbalan Menteri untuk menjawab soalan tambahan yang diajukan.
“Tidak ada dalam buku peraturan jadi kita teruskan kepada urusan majlis (sidang Dewan Rakyat),” katanya.


