
Calon PH tarik diri tanding DUN Silam
CALON Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan, menarik diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Abdul Halim berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan pimpinan tertinggi PH.
“Saya ingin menekankan bahawa ini adalah keputusan peribadi yang dibuat tanpa sebarang tekanan atau rundingan dengan pihak luar.
“Keputusan ini dicapai selepas pertimbangan matang untuk mengekalkan hubungan baik dan keharmonian dengan parti rakan lain,” katanya dalam kenyataan.
Beliau adalah antara 12 calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding pada PRN Sabah ke-17.
Abdul Halim berkata, beliau percaya bahawa perpaduan dan kerjasama antara PH dan parti lain lebih penting untuk masa depan politik negeri Sabah.
Walaupun tidak lagi bertanding, beliau menegaskan komitmennya terhadap masyarakat.
“Saya tetap komited dan akan terus bekerja untuk memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat di Silam khususnya, dan Lahad Datu amnya, sentiasa terpelihara dan dijunjung.
“Perjuangan untuk rakyat tidak pernah berhenti, dan saya akan terus menyumbang dalam apa juga kapasiti yang boleh bagi membangunkan kawasan ini serta memastikan suara rakyat terus didengar,” katanya.
Kerusi DUN Silam sebelum ini disandang oleh Dumi Pg Masdal daripada Parti Warisan.
Pada hari penamaan calon Sabtu lalu, DUN Silam menyaksikan saingan sembilan penjuru untuk meraih sokongan daripada 28,261 pengundi.
Namun, dengan penarikan diri Abdul Halim, saingan DUN Silam kini lapan penjuru. Bagaimanapun, dipercayai nama Abdul Halim akan tetap tertera pada kertas undi.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapa Sakmud, mengesahkan bahawa calon parti itu bagi kerusi Silam telah menarik diri daripada saingan di DUN Silam.
“Keputusan Abdul Halim menarik diri adalah peribadi dan dibuat tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak luar.
“Walaupun tidak bertanding, Abdul Halim telah menyatakan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada rakyat di Silam dan Lahad Datu dalam apa jua kapasiti yang mampu beliau sumbangkan.
“PKR Sabah menghargai iltizam beliau yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat dan Sabah,” katanya.

