Madani News

MTN: Kerjasama Putrajaya dan negeri penting untuk pembangunan tanah

MESYUARAT Majlis Tanah Negara (MTN) ke-82 hari ini memberi tumpuan kepada pengukuhan aspek kawal selia tanah agar lebih berkesan, inklusif dan selari dengan keperluan semasa demi manfaat rakyat.

Perkara itu ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyeru Kerajaan Persekutuan dan negeri supaya terus memperkukuh kerjasama, khususnya dalam usaha mempercepat proses kelulusan urusan tanah bagi tujuan pembangunan agar projek dapat dilaksanakan segera demi kebajikan rakyat.

Bagaimanapun, Anwar berkata, langkah mempercepat proses tersebut mesti dilaksanakan tanpa menjejaskan prosedur sedia ada selain menghormati sepenuhnya bidang kuasa kerajaan negeri dalam urusan tanah.

“Mesyuarat turut bersetuju dan berpegang teguh kepada komitmen mengekalkan 50 peratus keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan, selaras dengan aspirasi antarabangsa dan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030,” katanya di Facebook, hari ini.

Perdana Menteri menegaskan, Kerajaan MADANI akan terus berikhtiar mengangkat agenda pembangunan yang seimbang antara keperluan manusia dan kelestarian alam, selaras dengan prinsip kemampanan sebagai teras utama konsep MADANI.

MTN, yang dipengerusikan Perdana Menteri, merupakan platform tertinggi bagi menyelaras perancangan serta pengurusan tanah negara antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, bagi memastikan tanah dimanfaatkan secara optimum serta seimbang antara tuntutan ekonomi, keperluan sosial dan kelestarian alam sekitar.

Back to top button