
Lawatan bersejarah PM ke Ethiopia, kukuhkan hubungan benua Afrika
LAWATAN Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Ethiopia akan menjadi lawatan bersejarah dalam usaha Malaysia mengukuhkan hubungan dengan benua Afrika melalui ibu pejabat Kesatuan Afrika di ibu kota negara itu, Addis Ababa.
Kesatuan Afrika yang ditubuhkan pada Julai 2002 dan dianggotai 55 negara merupakan suara perwakilan benua itu di pentas global dengan fungsi antara lainnya untuk menggalakkan kerjasama antarabangsa, lapor Bernama.
Lawatan Anwar bermula 18 November ke negara yang mendapat jolokan “Horn of Africa” itu merupakan julung kali bagi Perdana Menteri Malaysia selain merupakan lawatan balas susulan kunjungan rasmi Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali ke Malaysia pada Oktober tahun lepas.
“Lawatan itu bertepatan dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik yang terjalin sejak Januari 1965 dan dijangka dapat membuka ruang bagi meraih peluang dan kerjasama dalam pelbagai sektor antara Malaysia dan Ethiopia,” kata Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ethiopia Mohd Afandi Abu Bakar menerusi taklimat yang diadakan secara maya dari Addis Ababa, semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa, pegawai kanan kerajaan yang lain serta delegasi perniagaan.
Lawatan itu juga bersempena dengan pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa pada 23 September 2025, sekali gus menekankan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan Ethiopia.
Beliau berkata, ia juga menjadi pemangkin untuk meneroka peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang kepentingan bersama, terutamanya dalam perdagangan, pelaburan dan hubungan antara rakyat.
Pembukaan semula Kedutaan Malaysia di Addis Ababa, serta dengan adanya ibu pejabat Kesatuan Afrika, juga akan menyediakan peluang kepada negara untuk memperkukuh hubungannya dengan Kesatuan Afrika.
Di Addis Ababa, Anwar akan diberi sambutan rasmi di Istana Negara yang dihadiri Dr Abiy Ahmed dan kemudiannya kedua-dua pemimpin akan mengadakan pertemuan dua hala.
Mohd Afandi berkata, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu kepentingan bersama seperti meningkatkan hubungan dua hala serta memupuk hubungan perdagangan dan pelaburan yang lebih kukuh.
“Mereka juga dijangka membincangkan pengukuhan kerjasama dalam bidang seperti pertanian, komoditi, penjagaan kesihatan, pendidikan dan pergerakan sesama rakyat,” katanya.
Sejumlah besar perjanjian serta memorandum persefahaman (MoU) juga dijangka dimeterai antara kedua-dua negara termasuk MoU dalam kerjasama kesihatan, perjanjian perkhidmatan udara dan pelancongan.
Perjanjian lain termasuk dokumen kolaborasi antara Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur dan Pentadbiran Bandaraya Addis Ababa yang akan menyelaraskan mekanisme untuk dialog strategik bagi menyediakan ruang kerjasama jangka panjang antara kedua-dua negara.
Anwar juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Ethiopia Taye Atske Selassie dan bertemu dengan Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika, Mahmoud Ali Youssouf yang berasal dari Djibouti.
Perdana Menteri juga dijadualkan menyampaikan syarahan khas bertemakan ‘Menghubungkan Peradaban, Membina Masa Hadapan: Memperkukuh Kerjasama Afro-Malaysia demi Kemakmuran Bersama’ kepada Kesatuan Belia Pan-Afrika dan Majlis Belia Ethiopia.


