Malaysian News

Hanya BN mampu selesaikan isu setempat di Sungai Manila

ISU setempat yang membelenggu penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila akan dinoktahkan sekiranya calon Barisan Nasional (BN) Zaini Tiksun diberi mandat sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Dalam siri kempennya, Zaini menegaskan akan berusaha menyelesaikan isu infrastruktur asas, termasuk jalan raya, bekalan air dan peluang pekerjaan untuk anak tempatan di DUN berkenaan.

Jelasnya, meskipun kawasan Sungai Manila mempunyai potensi besar, masih banyak kemudahan asas yang tertinggal dan memerlukan perhatian segera daripada kerajaan.

“Dari segi infrastruktur, Sungai Manila masih banyak jalan yang belum dinaik taraf dan ada yang masih dalam keadaan daif. Ini antara perkara pertama yang perlu diberi tumpuan,” katanya ketika ditemui di Sungai Manila, semalam.

Zaini turut menegaskan, masalah bekalan air yang telah berlarutan sejak kekalahan BN pada tahun 2018 perlu diselesaikan segera.

“Masalah air ini sudah berlanjutan hampir lima tahun di bawah kerajaan Warisan dan GRS, tetapi tidak ada penyelesaian menyeluruh. Begitu juga dengan isu bekalan elektrik dan kemudahan asas lain yang menjejaskan kehidupan rakyat,” jelasnya.

Tambahnya, peluang pekerjaan untuk anak muda juga menjadi agenda penting dalam usaha membangunkan Sungai Manila.

“Ramai anak-anak muda terpaksa keluar dari kawasan ini, malah ke luar Sabah, untuk mencari rezeki. Ini tidak sepatutnya berlaku. Kita mesti wujudkan peluang pekerjaan di Sungai Manila supaya mereka boleh membina masa depan di sini, di tempat sendiri,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada mantan ADUN Sungai Manila, Datuk Mokran atas sokongan penuh dalam kempen kali ini.

“Walaupun beliau tidak dicalonkan pada PRN kali ini, beliau tetap turun membantu dan memberikan bimbingan. Itu satu keikhlasan dan semangat setiakawan yang amat saya hargai,” katanya.

Mengenai gerak kerja jentera BN, Zaini berkata, beliau berterima kasih kepada jentera yang diketuai oleh Mokran dalam menyantuni masyarakat di Sungai Manila, Dun Bumbung dan Sungai Sibuga.

“Rekod perkhidmatan Barisan Nasional jauh lebih baik daripada mana-mana parti lain. Banyak pembangunan di Sungai Manila ini — seperti dua buah Projek Perumahan Rakyat (PPR), pembinaan Pekan Muhibbah, serta Masjid Sri Aman yang menjadi antara masjid terbesar di Sandakan, semuanya dilaksanakan pada zaman kerajaan Barisan Nasional,” jelasnya.

Beliau yakin rakyat akan menilai berdasarkan rekod pencapaian dan khidmat bakti BN sebelum membuat pilihan di peti undi.

Zaini akan berdepan saingan enam penjuru pada hari pengundian 29 Nov nanti. Irian Nanang(PIS), Sittinara Sakah (Warisan), Yusri Abu (PN-Bersatu), Faizal Wahab (PPRS) dan Hazem Mubarak Musa (GRS-Gagasan Rakyat).

Back to top button